November 12, 2015

Warga emas maut dilanggar motosikal ketika lintas jalan

SERIAN: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas dilanggar sebuah motosikal ketika menyeberang jalan di Kilometer 68 Jalan Kuching-Sri Aman, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa Ramas Drawing berusia 70 tahun dan berasal dari Kampung Rasau semasa kejadian dipercayai berjalan pulang ke rumahnya sekitar jam 10.45 pagi.

Mangsa yang sedang melintas jalan tiba-tiba dilanggar sebuah motosikal menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian dan kemudian dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan.

Berikutan keadaan mangsa yang parah, dia disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.25 petang semasa sedang mendapatkan rawatan.

“Mangsa ketika kejadian sedang menyeberang jalan apabila dilanggar sebuah motosikal yang bergerak dari arah bandar Serian ke Gedong, Simunjan.

“Ekoran itu, mangsa tercedera dan kemudian dikejarkan ke Hospital Serian sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.25 petang ketika sedang menerima rawatan,” kata sumber.

Difahamkan, mayat mangsa juga telah dituntut keluarganya untuk upacara pengebumian.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Chung Aik Peng yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu pihak polis juga telah menahan seorang lelaki berusia 20-an yang mengaku melanggar mangsa.

“Penunggang motosikal selepas kemalangan tersebut terus melarikan diri dengan alasan dia takut dan petang hari yang sama juga, dia telah datang menyerah diri ke balai.

“Buat masa ini, dia masih ditahan untuk siasatan lanjut,” kata Chung.

Utusan Borneo 8 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment