November 11, 2015

Warga China dikhuatiri lemas

Langkawi: Lelaki warga China hilang dipercayai lemas, manakala isteri dan dua anaknya terselamat dalam kejadian di Pantai Tanjung Rhu, di sini, petang ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Cheung Ming Tak, 50.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi Pegawai Bomba Tinggi Zabidi Che Teh berkata, mangsa hilang dipercayai lemas selepas bersiar-siar bersama dua anaknya berusia sembilan dan 11 tahun di atas beting pasir di pantai itu.

Menurutnya, mangsa dan dua anaknya berjalan di atas beting pasir, manakala isterinya tidak ikut serta dan memerhati dari tepi pantai.

"Difahamkan tiba-tiba lelaki terbabit dan dua anaknya ditarik arus deras dan dihanyutkan ombak ke tengah laut sebelum dua anaknya berjaya diselamatkan orang awam," katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.41 petang dan seramai 21 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

Katanya, operasi mencari mangsa agak sukar disebabkan arus yang deras serta hujan lebat dan operasi akan disambung jam 8 pagi esok selepas ditangguhkan pada 7 malam tadi.

myMetro 10 November 2015


Mayat warga China ditemui terapung

Mayat warga China yang ditemui terapung kira-kira 700 meter dari Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, pagi ini, dibawa anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Langkawi. FOTO Ihsan Bomba

Langkawi: Pelancong lelaki warga China yang hilang hampir 18 jam lalu ditemui lemas kira-kira 700 meter dari pantai Tanjung Rhu, di sini, pagi ini.

Mayat Cheung Ming Tak, 50, ditemui pada 10.49 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan gerakan mencari selepas menerima laporan kehilangan mangsa 4.05 petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan hilang selepas bersiar-siar bersama dua anaknya, Cheung Crysdal, 9, dan Cheung Yan, 11, di atas beting pasir di pantai berkenaan.

Kedua-dua anaknya turut dihanyutkan arus, tetapi dapat diselamatkan oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan SAR kira-kira 700 meter dari pantai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sejurus itu operasi SAR ditamatkan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi.

myMetro 11 November 2015


0 comments:

Post a Comment