November 30, 2015

Warga Brunei cari ibu bapa kandung di Johor

Emma mencari ibu dan bapa kandungnya yang dipercayai berasal dari Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Seorang warga Brunei merayu bantuan orang ramai bagi mencari ibu dan bapa kandungnya yang dipercayai berasal dari bandar raya ini.

Kerani, Emma, 43, berkata, dia dipelihara bapa angkatnya, Pangeran Abd Rahman Pangeran Abd Rahim dan ibu angkatnya, Pangeran Siti Fatimah Pangeran Ahmad, sejak bayi tanpa sebarang dokumen kelahiran.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan dibawa ke Brunei oleh sebuah pusat penjagaan kanak-kanak menerusi orang tengah yang dikenali Pangeran Haji Tengah untuk diberikan kepada keluarga angkat di sini, bersama lima bayi lain.

“Sejak dijaga mereka (keluarga angkat) nama saya juga dibintikan bapa angkat dan saya tidak mengetahui langsung nama sebenar bapa mahupun ibu kandung saya.

“Saya cuba mendapatkan maklumat diri dari keluarga angkat, namun mereka tidak mengetahuinya dan hanya memberitahu saya dilahirkan di hospital di Singapura dan keluarga kandung saya berasal dari Johor Bahru,” katanya kepada Sinar Harian.

Emma yang telah berkahwin dan mempunyai empat anak berumur lapan hingga 19 tahun berkata, ketika di bangku sekolah, selepas mengetahui statusnya adalah anak angkat, dia berusaha menjejak keluarga kandungnya di negara ini.

Jelasnya, dia benar-benar mahu berjumpa dan mengenali mereka.

“Sebelum ayah angkat saya meninggal dunia 11 tahun lalu dia sempat meminta saya mencari sendiri keluarga kandung saya. Ibu angkat saya juga tidak mempunyai sebarang maklumat dan kini sedang sakit.

“Saya buntu memikirkan tentang perkara ini dan syukur suami, Mohd Sapawi Yahya, 42, benar-benar memahami serta memberi sokongan untuk menjejak keluarga kandung saya,” katanya.

Emma merayu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ibu dan kandungnya agar menghubungi di talian +6738723630.

Menurutnya yang baharu membuat pembedahan bagi membuang rahim tahun lepas, dia benar-benar berharap dapat berjumpa mereka (keluarga kandung) walaupun hanya seketika sahaja.

Sinar Harian 27 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment