November 14, 2015

Wanita terselamat kereta terbalik

KEADAAN kemalangan di tempat kejadian.

Bangi: Seorang wanita berusia 23 tahun selamat walaupun kereta Perodua Myvi dipandunya dirempuh menyebabkannya terbalik dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 295.5, Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan, jam 7.25 pagi semalam.

Kejadian berlaku apabila sebuah Proton Gen2 dipandu lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan lebuh raya berkenaan.

Akibatnya, empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Proton Preve, Proton Persona dan Perodua Viva yang berada di belakang gagal mengelak sebelum bertembung.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Deputi Superintendan Azmi Wahid berkata, Proton Gen2 terbabit hilang kawalan sebelum berpusing.

“Perodua Myvi dipandu wanita berkenaan yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri Proton Gen2.

“Kedua-dua kereta berkenaan dirempuh dari belakang oleh Proton Preve,” katanya.

Menurut Azmi, rempuhan kuat itu menyebabkan Perodua Myvi berkenaan terbalik.

Pada masa sama, Azmi berkata, Proton Preve berkenaan turut dirempuh Proton Persona.

“Perodua Myvi yang terbalik di lorong tengah kemudian sekali lagi dirempuh pada bahagian kanan oleh Perodua Viva.

“Kemalangan menyebabkan dua lorong terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja pengalihan dan pembersihan dilakukan. Semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan bagaimanapun selamat,” katanya.

myMetro 13 November 2015

0 comments:

Post a Comment