November 5, 2015

Wanita rentung, empat lagi melecur teruk

Kebakaran di Kampung Pulai Manang Bukau, Beaufort yang mengorbankan seorang wanita malam tadi. FOTO ihsan bomba

Beaufort: Wanita rentung manakala anak, ibu serta dua abangnya parah akibat melecur teruk selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pulai Manang Bukau, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, Fazilah Unung, 27, ditemui rentung di dalam rumahnya sebaik api dipadamkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort.

Anak mangsa, Adam Alip, 4, melecur 70 peratus, ibunya, Mariam Lingkup, 79, (melecur 60 peratus), dua abang mangsa Mohd Salleh Wisnan, 50, (melecur 45 peratus), dan Mohd Azahar, 29, (melecur 60 peratus) dan mereka dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.33 malam sebelum menghantar sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik saja api berjaya dikawal kira-kira 12 tengah malam, seorang wanita didapati rentung manakala empat lagi melecur teruk dibahagian badan mereka.

"Semua mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Beaufort manakala mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Menurut Affendi, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran itu dan jumlah kerugian," katanya.

myMetro 5 November 2015

0 comments:

Post a Comment