November 18, 2015

‘Ustaz’ syukur dapat semua A

Ilyas bersama ibunya meraikan kejayaan memperoleh keputusan cemerlang selepas diumumkan, semalam.

KOTA BHARU - Dalam kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1, di sini, Mohd Ilyas Hisham, 12, cukup disegani kerana perwatakannya yang sentiasa berdisiplin selain dipanggil ustaz dan mampu mengimamkan solat.

‘Ustaz’ yang tampil kemas lengkap berkopiah putih terus menarik perhatian rakan-rakan selepas dia antara 45 murid sekolah itu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mohd Ilyas ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana memperoleh keputusan cemerlang, sekali gus berjaya menggembirakan keluarga terutama ibu dan bapanya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan.

“Saya lega kerana sudah lepas ujian pertama dalam hidup saya. Selepas ini, saya mahu masuk ke sekolah tahfiz supaya dapat belajar ilmu agama dengan lebih mendalam.

“Pada masa sama, saya juga berazam mahu terus cemerlang dalam pelajaran bagi memastikan cita-cita saya mahu menjadi seorang doktor tercapai,” katanya.

Ibunya, Wan Nurhayati Mat Hussin, 40, pula memberitahu, dia dan suami sentiasa memastikan Mohd Ilyas serta lima lagi anak-anak mereka dididik dengan ilmu agama dan ilmu duniawi secara seimbang demi masa depan mereka di dunia dan akhirat.

“Alhamdulillah, kejayaan Mohd. Ilyas dalam UPSR amat menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.

SK Sultan Ismail 1 mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.35 turut memperoleh peratusan tertinggi calon yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran iaitu sebanyak 50 peratus.

Sinar Harian 18 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment