November 21, 2015

Tragedi tangki air

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa. Foto Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Tukang paip maut selepas terjatuh dalam tangki air di restoran di Jalan Temiang, di sini, pagi tadi ketika membaiki paip.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 10 pagi, berlaku masalah air di restoran itu menyebabkan pemiliknya menghubungi mangsa, Lee Sea Moy, 66 untuk membaikinya.

Katanya, selepas membuat pemeriksaan di restoran, mangsa percaya berlaku kerosakan pada pelampung dalam tangki yang terletak 10 meter dari premis itu.

"Sebaik menaiki tangga pada paras tiga meter, warga emas itu dipercayai tersepak tangga lalu tergelincir masuk ke dalam tangki berkenaan.

"Kejadian itu disedari beberapa pekerja restoran yang memaklumkan pemilik premis," katanya.

Menurutnya, pemilik premis berusia 50-an segera menghubungi bomba.

"Ketika menjalankan kerja penyelamatan, anggota bomba menemui mangsa dalam tangki dengan kedalaman air hampir satu meter.

"Pada masa itu juga, mangsa dipercayai lemas dan hanya kepala serta bahunya timbul dipermukaan air," katanya.

Muhamad Zaki berkata, mangsa yang pengsan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini namun meningggal dunia dalam perjalanan.

"Kes diklasifikasikan mati mengejut dan punca kematian akan diketahui selepas proses bedah siasat," katanya.

myMetro 21 November 2015



0 comments:

Post a Comment