November 28, 2015

Tragedi perigi kebun kelapa sawit


Jenazah dua kanak-kanak yang lemas dalam perigi di bawa ke hospital. - Foto MOHAMMAD ISHAK

Jertih: Dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun ditemui mati lemas dalam sebuah perigi lama di Kampung Alur Keladi, dekat sini, kira-kira 5.30 petang tadi.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Hakim Syahrul Azman, 7, dan Mohammad Nabil Nuriman, 9, dipercayai terjatuh ke dalam perigi berkenaan ketika bermain dalam kebun kelapa sawit.

Mangsa dikatakan ke kawasan itu tanpa diketahui ibu bapa dan dipercayai tergelincir ke dalam perigi lama yang dipenuhi air berikutan musim hujan.

Mereka ditemui terapung di permukaan air dalam perigi oleh seorang penduduk yang kebetulan lalu di situ sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang kemudiannya bergegas ke lokasi serta mengejarkannya ke Unit Kecemasan Hospital Besut tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

myMetro 26 November 2015


Dua sahabat maut dalam perigi

MOHD. LAZIM menunjukkan lokasi tempat Muhammad Nabil dan Muhammad Amirul Hakim mati lemas dalam perigi lama yang dipenuhi air hujan di Kampung Alor Belanga, Hulu Besut petang kelmarin.

BESUT – Kedegilan tiga sahabat yang tidak mendengar nasihat supaya jangan bermain air selepas hujan lebat di kawasan perigi lama di Kampung Alor Belanga, Hulu Besut dekat sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemui mati lemas petang kelmarin.

Bagaimanapun, nasihat daripada seorang penduduk kampung itu tidak dipedulikan mereka sekali gus menyebabkan dua sahabat iaitu Muhammad Nabil Nuriman Mohd. Lazim, 9, dan Muhammad Amirul Hakim Syahrul Azman, 7, mati lemas selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam empat meter.

Seorang lagi kanak-kanak iaitu Muhammad Izul Afiq Amirizo, 9, berjaya menyelamatkan diri selepas berjaya keluar dari kawasan perigi berkenaan sebelum meminta pertolongan daripada bapanya untuk mengeluarkan ke­dua-dua mangsa dari perigi itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu telah bermain di satu kawasan lopak air dalam kebun itu kira-kira 100 meter dari rumah Muhammad Nabil Nuriman.

Kosmo 28 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment