November 14, 2015

Tragedi pagi hari perayaan


Kenderaan mangsa terbabas ke dalam longkang dan terbalik. Gambar kecil: Kaleaselvan

GEMAS - Hajat seorang bapa bagi membawa dua anaknya dan keluarga mertua bersiar-siar di Kuala Lumpur sempena cuti Deepavali tidak kesampaian apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan di Desa Permai Gemas, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, L Kaleaselvan, 31, maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh Chong Peng Fong, 79, yang ketika itu sedang berjoging di taman berkenaan.

Menurut adik ipar mangsa, K Saravanan, 29, bekas abang iparnya itu pulang ke rumah di Gemas bagi meraikan sambutan Deepavali bersama anak-anaknya.

“Walaupun sudah dua tahun berpisah, abang ipar yang bekerja di Singapura akan pulang sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi menjenguk anak-anaknya.

“Malah kami merancang untuk berjalan-jalan di Kuala Lumpur dan ICT di Shah Alam hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, di sini, semalam.

Saravanan berkata, malam sebelum kejadian, mereka sekeluarga makan malam bersama di sebuah kedai di Pekan Gemas.

“Abang tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun dia memang sayangkan anak-anaknya yang berusia enam dan sembilan tahun. Walaupun menetap di Johor, abang tetap akan balik ke sini bagi meluangkan masa bersama anaknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, berdasarkan siasatan awal kemalangan berkenaan berlaku di jalan Taman Desa Permai Gemas berhampiran bangunan perniagaan.

Menurutnya, pemandu kereta Toyota Vios telah melanggar seorang pejalan kaki dan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar sebuah warung kanvas yang tidak beroperasi.

“Kereta berkenaan terus terbabas ke dalam longkang dan terbalik. Kedua-duanya disahkan maut.

“Mayat dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.," katanya.

Beliau berkata, Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian 11 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment