November 14, 2015

Tragedi gaung

KEADAAN kenderaan yang dinaiki mangsa yang terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

Rompin: Dua sahabat terbunuh selepas kereta Proton Saga BLM dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 160, Jalan Kuantan-Seremban, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu kereta berkenaan, Shahrizal Ujang, 29, dari FELDA Pasoh, Batu Kikir, Negeri Sembilan, bekerja sebagai konduktor bas dan penumpang, Nur Asyikin Abdullah, 22, dari Tanah Merah, Kelantan, yang menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP) meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Pahang Deputi Superintendan Ahmad Nazri Zainal berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Seremban dari Kuantan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Shahrizal dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa ditemui pengguna jalan raya beberapa jam kemudian sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rompin tiba di tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa dipercayai memakai tali pinggang keledar namun pemandunya tidak mempunyai lesen memandu.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dijalankan,” katanya.

Katanya, pada masa sama, polis sudah memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa untuk membuat pengecaman mayat.

Ahmad Nazri berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil di Balai Polis Trafik Rompin untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 14 November 2015



0 comments:

Post a Comment