November 5, 2015

Tragedi di pantai


BANTUAN: Kedua-dua beradik yang lemas dan berjaya ditemui, diberikan bantuan pernafasan oleh paramedik, dibawa ke Hospital Miri menggunakan ambulans, namun disahkan meninggal dunia kemudian.

Kedua-dua beradik yang lemas dan berjaya ditemui, diberikan bantuan pernafasan oleh paramedik, dibawa ke Hospital Miri menggunakan ambulans, namun disahkan meninggal dunia kemudian.

MIRI: Dua adik-beradik, lelaki dan perempuan meninggal dunia selepas ditemui lemas, ketika mandi di pantai Taman Selera, Tanjung Lobang dekat sini petang semalam.

Mangsa, Suhaid Abdullah, 5, dan kakaknya, Nuraini, 6, dipercayai mandi dan bermain di tepi pantai berkenaan sekitar jam 2 petang semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri mengesahkan menerima panggilan daripada orang awam yang ternampak seorang kanak-kanak terkapai-kapai di tepi pantai berkenaan pada jam 4.56 petang, namun ketika bomba tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Mangsa pertama, Suhaid berjaya diselamatkan oleh pengawal keselamatan dari sebuah syarikat swasta, K9 Security, yang berkawal di situ pada jam 4.45 petang, manakala Nuraini diselamatkan oleh seorang pekerja Indonesia yang kebetulan berada di pantai berkenaan, beberapa minit kemudian.

Menurut Sugianto, 36, yang bekerja di kedai makan di pantai Taman Selera tersebut, beliau biasa melihat kedua-dua beradik itu bermain dan mandi situ bersama seorang lagi adik lelaki mereka yang berusia dalam lingkungan tiga tahun kerana keluarga itu tinggal di kuarters pekerja milik sebuah syarikat kontraktor di pantai berkenaan.

“Sebaik saya melihat pengawal itu keluar dari air membawa yang lelaki itu (Suhaid), saya sedar seorang lagi (perempuan) masih hilang kerana saya ternampak adik lelaki yang lebih kecil mereka bersama ibu mereka,” jelasnya kepada pemberita The Borneo Post ketika ditemui semalam.

Menyedari seorang masih hilang, Sugianto nekad pergi ke tepi laut di mana adiknya ditemui untuk mencari kakak mangsa dan berjaya menemukannya, namun dalam keadaan yang tidak bermaya.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa gagal diselamatkan apabila disahkan meninggal dunia di Hospital Miri, selepas sejam lebih mereka ditemui lemas.

Sementara itu, ibu mereka yang berusia 28 tahun dan masih dalam keadaan terkejut serta trauma dengan tragedi tersebut, turut berada di tempat kejadian manakala suaminya yang juga bapa tiri kepada kedua-dua mangsa, menyusul kemudian selepas dimaklumkan orang ramai.

Utusan Borneo 28 Okt 2015


Ajal dua beradik

Dua beradik lemas selepas mandi di pantai Tanjung Lobang, petang tadi. FOTO ihsan bomba

Miri: Dua beradik masing-masing berusia lima dan enam tahun ditemui lemas selepas mandi di pantai Tanjung Lobang di sini, petang tadi.

Mayat Suhaid Abdullah dan kakaknya, Nuraini,ditemui pengawal keselamatan pantai di persisiran pantai pada 5.05 petang tadi.

Ketua Bomba Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada 4.56 petang.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa ditemui terbaring di pantai oleh pengawal keselamatan pantai. Pasukan paramedik yang dipanggil mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Kes diserah kepada polis dan mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk tindakan lanjut," katanya.

Law berkata, difahamkan mangsa tinggal di gerai kosong berhampiran pantai bersama ibu dan tiga adik beradik lain.

Katanya, sudah menjadi rutin, dua beradik itu mandi di pantai tanpa pengawasan ibu mereka.

"Ibu mangsa menyedari dua anaknya lemas apabila hanya seorang anak pulang ke gerai.

"Mangsa dipercayai terhantuk pada batu apabila dilambung ombak," katanya.

myMetro 27 Oktober 2015


0 comments:

Post a Comment