November 5, 2015

Tiga, termasuk dua anggota polis hadapi tuduhan membunuh

KULIM: Tiga lelaki, termasuk dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini atas dua pertuduhan membunuh pada 11 September lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh, Mohamad Amirull Aliff A Razak, 25 dan Anuar Abdul Aziz, 27, masing-masing anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, serta Abdul Rahim Isa, 33.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama membunuh Lee Tat Wai, 33, di persimpangan lampu isyarat berdekatan Kilang INOKOM, di Padang Meha, di sini antara jam 11.15 hingga 11.30 malam pada 11 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka di lokasi dan waktu sama didakwa membunuh Mohd Syakirin Ahmad Sahhidan, 28.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur, di hadapan Majistret R Manomani, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Mahkamah menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian 5 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment