November 25, 2015

Tiga ditahan culik, rogol gadis warga Thailand

KUALA LUMPUR 25 Nov.- Seorang gadis warga Thailand berusia belasan tahun bukan sahaja menjadi mangsa culik malah dirogol oleh salah seorang daripada tiga lelaki yang melarikannya di Cheras Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tindakan pantas mangsa melarikan diri untuk meminta bantuan daripada pelanggan di sebuah restoran di Balakong, Kajang menyebabkan kesemua suspek berjaya ditangkap orang ramai beberapa jam selepas itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rotzarn Rashid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 pagi ketika mangsa yang bekerja di sebuah salun rambut dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Taman Bukit Cheras.

Menurut beliau, sebaik sahaja keluar daripada rumah, mangsa telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali bersenjatakan kapak yang secara tiba-tiba memegang tangan dan memaut leher serta mengugut mangsa mendiamkan diri sekiranya tidak mahu dicederakan.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa masuk ke dalam sebuah kereta dinaiki dua lagi rakannya sebelum membawa mangsa mengelilingi kawasan perumahan di sekitar Cheras dan Balakong.

“Namun, ketika dalam perjalanan itu, salah seorang suspek yang duduk di belakang dan bersebelahan mangsa membuka baju dan seluar gadis itu sebelum merogolnya,” katanya.

Rotzarn memberitahu, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 24 itu juga bagaimanapun ditahan sebelum dipukul orang awam sejurus mangsa melarikan diri meminta bantuan ketika kereta Proton Gen 2 dinaiki mereka berhenti kerana kehabisan minyak.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol dan Seksyen 395 kanun atas kesalahan melakukan samun,” ujarnya.

Dalam pada itu, rakaman video suspek ditahan orang awam serta gambar mangsa dimuat naik di laman media sosial Facebook, sejak kelmarin dan menjadi viral. - UTUSAN ONLINE

Utusan 25 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment