November 8, 2015

Terpaksa tangguh pembedahan


Noriza menyuapkan air teh kepada Insyirah yang merupakan minuman kegemarannya.

SUNGAI PETANI – Seorang ibu dari Kampung Lubok Tualang, Sik, memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya yang dianggarkan mencecah RM40,000.

Noriza Man, 45, berkata, anaknya, Siti Nor Insyirah, 2, mempunyai masalah pernafasan sejak lahir perlu dibedah segera bagi menyelamatkannya nyawanya.

Menurutnya, sebelum ini doktor hanya memberi tempoh jangka hayat selama enam bulan kepada anaknya kerana sebaik dilahirkan pada 25 September 2013 di Hospital Sik, anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan dirujuk ke Hospital Sultanah
Bahiyah sehari kemudian.

"Pada hari ke-17 dilahirkan, Insyirah menjalani pembedahan untuk pemasangan tiub memandangkan Insyirah tiada saluran pernafasan dari jantung ke paru-paru.

“Namun Alhamdulillah, selepas pembedahan itu, Insyirah mampu bertahan sehingga kini,” katanya.

Menurut Noriza, anak bongsu dari sembilan beradik itu perlu menjalani pembedahan bagi membuat saluran pernafasan, namun memikirkan masalah kewangan yang dihadapi keluarganya, pembedahan tersebut masih ditangguhkan.

“Doktor nasihatkan kami supaya melakukan pembedahan, namun memikirkan kosnya yang terlalu tinggi, kami masih tangguh sehingga hari ini," katanya.

Noriza berkata, suami, Jamil Man, 55, bekerja sebagai penoreh getah dan pendapatannya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan anak-anaknya.

Dalam pada itu, Noriza turut bimbang dengan kesihatan anaknya memandangkan berat badannya makin susut.

"Khamis ini, Insyirah akan menjalani pembedahan kecil menggantikan tiub yang sudah mengecut di Hospital Pulau Pinang.

“Doktor maklumkan, berat badan tidak boleh kurang enam kilogram, jika tidak, pembedahan akan ditangguhkan," katanya yang turut memberitahu berat badan anaknya kini hanya 5.7 kilogram.

Orang ramai ingin membantu adik Insyirah boleh berbuat demikian melalui akaun BSN Noriza bernombor 0211-5290-00185-503.

Sinar Harian 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment