November 8, 2015

Tergelincir ketika turun bukit


Jenazah mangsa dibawa ke masjid untuk disembahyangkan jam 1 petang semalam sebelum disemadikan Tanah Perkuburan Felda Chalok Barat.

SETIU - Penantian seorang anak menunggu ibunya pulang dari kerja bertukar detik menyedihkan apabila menerima berita insan yang melahirkannya meninggal dunia dalam keadaan tertiarap atas jalan di Kampung Felda Chalok Barat, lewat malam semalam.

Menurut Asmarina Abdullah,24, ibunya, Timah Taib,63, ditemui penduduk jam 12.30 tengah malam yang secara kebetulan melalui jalan berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumahnya yang ketika itu hujan renyai.

“Emak bekerja sebagai pembantu kedai makan yang terletak 500 meter daripada rumah sejak tiga tahun lalu. Menjadi rutin hariannya menunggang motosikal ke tempat kerja dan tiba di rumah jam 12.30 tengah malam setelah habis kerja jam 12 tengah malam.

“Macam biasa, saya selalu menunggunya memandangkan hanya saya, ibu dan adik sahaja tinggal di sini. Ayah meninggal dunia 21 tahun lalu, adik-beradik lain tinggal berasingan dan mempunyai keluarga.

“Saya benar-benar terkejut apabila diberitahu ibu meninggal dunia. Lewat petang semalam (kelmarin), seperti biasa dia akan pulang ke rumah ketika waktu rehat untuk tunai solat Maghrib sebelum kembali ke tempat kerja.

“Ketika itu kelakuannya juga seperti biasa dan tiada apa-apa perubahan. Tidak sangka, pertemuan sewaktu ibu pulang sekejap untuk sembahyang menjadi detik terakhir sebelum saya dikejutkan dengan kejadian yang menimpanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, mangsa maut dipercayai setelah motosikal jenis EX5 ditunggangnya terbabas lalu tergelincir semasa menuruni kawasan berbukit.

“Mangsa ditemui penduduk berhampiran motosikal di tengah jalan dalam keadaan tertiarap dan ketika ditemui mangsa sudah pun meninggal dunia selain terdapat kesan kecederaan di kepala.

“Lokasi kemalangan melibatkan jalan berbukit, basah dan licin serta ketika kejadian hujan renyai.

Berkemungkinan mangsa jatuh dari kenderaan dalam keadaan muka tersembam atas jalan menyebabkan parah di kepala.

“Tempat kejadian telah dilawati dan terdapat kesan calar dipercayai kesan seretan motosikal jatuh. Keterangan saksi yang menjumpai mangsa serta anak mangsa juga telah diambil dan mangsa biasanya menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumah selepas selesai kerja.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tiada sebarang kesan daripada haiwan atau unsur jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan berdasarkan hasil bedah siasat di Hospital Setiu, sebab kematian akibat cedera di kepala,” ujarnya.

Sinar Harian 5 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment