November 12, 2015

Tanah runtuh di Lebuh Raya KL-Karak

Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

BENTONG – Sebahagian laluan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini ditutup kepada pengguna ekoran tanah runtuh di Kilometer 52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi lewat petang semalam.

Kejadian yang berlaku pada pukul 7.18 malam itu dipercayai berlaku kerana banjir kilat akibat kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal Lentang yang terletak berdekatan lokasi itu.

Ekoran insiden tersebut, kenderaan tidak dapat bergerak sehingga mengakibatkan kesesakan teruk laluan menghala ke Kuala Lumpur.

Pengendali lebuh raya itu, Anih Berhad dalam satu kenyataan berkata, laluan di kedua-dua arah ditutup sebagai langkah keselamatan dengan keadaan cuaca dilaporkan masih hujan selepas kejadian.

Pengguna dari arah Kuala Lumpur diminta supaya menggunakan jalan alternatif laluan dalam di Bukit Tinggi atau Kawasan Rehat Lentang manakala pengguna dari arah Kuantan boleh menggunakan jalan dalam dari Bentong Timur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor mengesahkan tiada kerosakan membabitkan harta benda dan nyawa dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua laluan masih belum boleh dilalui dan jentera MTD Prime Sdn. Bhd. sudah tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 8 malam tadi untuk melakukan kerja pembersihan.

Kosmo 12 Nov 2015


Empat kenderaan terperangkap, tiada kemalangan jiwa

Suasana tempat kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuhraya KL-Karak malam tadi. FOTO ihsan JPAM KL

Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya mengesahkan empat kenderaan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuhraya KL-Karak dekat Lentang- Bukit Tinggi malam tadi, namun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya ada menerima laporan awal mengenai kejadian itu dan kenderaan berkenaan sudah dialihkan pihak berkuasa.

Katanya, jalan ditutup sepenuhnya akibat kesan runtuhan besar

"Semua pengguna dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif seperti diarahkan pihak berkuasa," katanya pada sidang media ketika Majlis Malam Media KKR, di sini, sebentar tadi.

Fadillah berkata, pihaknya akan menghantar pasukan forensik untuk menilai tahap kerosakan laluan berkenaan.

"Pergerakan tanah dilaporkan masih berlaku dan pakar berkaitan akan melakukan siasatan segera.

"Kami mahu memastikan tiada lagi pergerakan dan keadaan cerun stabil, supaya pengguna dapat melaluinya dengan selamat," katanya.

Menurut Fadillah, kerja pembersihan akan dilakukan segera dan dijangka dapat diselesaikan pagi esok.

"Pengguna akan dimaklumkan mengenai perkara ini dari semasa ke semasa.

"Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah laluan ini selamat untuk dibuka semula kepada orang ramai," katanya.

myMetro 11 November 2015


25 dipindahkan

Jentera berat digunakan untuk membersih kawasan runtuhan. FOTO Sairien Nafis

Bentong: Seramai 25 daripada 40 penghuni Kuarters Perhutanan Pahang terperangkap dalam banjir lumpur susulan kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Lentang- Bukit Tinggi, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, mereka selamat dan dipindahkan ke Masjid Lentang buat sementara waktu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Morni Mamat berkata, kerja pembersihan giat dijalankan di kawasan runtuhan.

mMetro 12 November 2015


Kenderaan terkandas 

Kenderaan terkandas akibat tanah runtuh di KM 52.4 Lebuhraya KL-Karak 7.18 malam tadi. FOTO Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Sesak bermula di KM47 arah Bukit Tinggi susulan tanah runtuh di KM 52.4 Lebuhraya KL-Karak 7.18 malam tadi.

Wartawan Harian Metro Fardy Bungga yang dalam perjalanan ke tempat kejadian melaporkan kenderaan terkandas hampir lima kilometer.

myMetro 11 November 2015


KARAK dibuka sepenuhnya

LALUAN kedua dua arah Kuala Lumpur-Karak dibuka semula kepada semua kenderaan selepas kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bentong: Laluan di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sudah dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan kira-kira jam 12.30 tengah hari, hari ini.

Laluan itu dibuka selepas ia disahkan selamat dan mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Tinjauan Harian Metro mendapati, trafik bergerak lancar di sepanjang lokasi kejadian banjir lumpur pada Rabu lalu itu.

Bagaimanapun, kerja pembersihan di tepi jalan masih dilakukan oleh pengendli lebuh raya berkenaan, ANIH Berhad.

Pemantauan juga dilakukan oleh pihak berkenaan dengan anggota polis ditempatkan di lokasi kejadian bagi menjamin keselamaan pengguna lebuh raya.

myMetro 15 November 2015 

0 comments:

Post a Comment