November 15, 2015

Tak sampai hati cerita sebenar

ANGGOTA bomba memeriksa kereta mangsa kemalangan, Mohd Hafiq dan Siti Fatimah semalam.

Sungai Petani: “Saya hanya mampu beritahu abang ipar ‘ok’ apabila ditanya kakak (Siti Fatimah) kerana tidak tergamak mengatakan suaminya meninggal dunia,” kata Mohd Solihin Razali, 18, adik ipar kepada anggota tentera Mohd Hafiq Harun, 27, yang maut selepas Perodua Kancil dipandunya merempuh pokok di Kilometer 41, Jalan Sungai Petani-Alor Setar berhampiran Gurun, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah malam, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu merempuh pokok menyebabkannya mati di tempat kejadian manakala isteri mangsa, Siti Fatimah, 21, serta anak mereka Muhammad Qawiem Iqfal, 2, yang parah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan lanjut.

Sebelum kejadian, mangsa yang bertugas di Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) bersama isteri dan anak mereka dalam perjalanan dari Kampung Bukit Palong Selatan, Naka, Kuala Nerang untuk pulang ke rumah mereka di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani.

Mohd Solihin berkata, kakaknya bertanyakan keadaan suaminya ketika menziarahinya di hospital sebelum wanita itu dibawa menjalani pembedahan, namun tidak sampai hati memaklumkan yang abang ipar meninggal dunia.

“Dalam keadaan kakak yang patah kedua-dua kaki dan tangan kiri manakala anak mereka pula patah tangan dan luka di kepala, kami sekeluarga tidak tergamak memaklumkan perkara sebenar, malah kakak juga tidak tahu yang bayi dalam kandungannya juga meninggal dunia.

“Kali terakhir saya berjumpa abang ipar ketika bersama kakak dan anak mereka pulang ke kampung di Naka, dua hari lalu dan ketika itu arwah lebih banyak berdiam diri daripada berbual dan hanya sesekali bermain telefon bimbitnya di luar rumah.

“Selepas itu, mereka bertiga terus pulang ke rumah bapa arwah di Kampung Bukit Palong, tetapi jam 3 pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan kereta dinaiki arwah bersama kakak dan anaknya terbabit kemalangan di Gurun,” katanya ketika ditemui di HSAH, di sini.

Katanya, kejadian itu kemalangan ketiga menimpa arwah abang ipar selepas kemalangan kereta tahun lalu selain pernah terbabit kemalangan motosikal menyebabkan tangan kirinya lumpuh, beberapa tahun lalu.

“Dalam kemalangan kereta sebelum ini, abang dan kakak hanya cedera ringan dan ketika itu, kakak hamil lima bulan.

“Memang saya agak bimbang melihat cara arwah memandu kereta kerana dia hanya menggunakan satu tangan disebabkan tangan kirinya lumpuh,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil dipandu anggota tentera terbabit bersama isteri dan anak mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh pokok.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala isterinya patah kedua kaki dan tangan kiri sementara anak mereka pula patah tangan kiri dan cedera di kepala.

myMetro 15 November 2015

0 comments:

Post a Comment