November 30, 2015

Suami isteri terbunuh

FOTO Rosli Ilham

Kemaman: Suami isteri maut selepas kereta yang mereka kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ibuk-Kemasik, dekat Bukit Mok Sono, di sini.

Kemalangan kira-kira 5 petang semalam itu mengorbankan Ripin Abdullah, 71, dan isterinya, Lijah Hassan, 71, yang berasal dari Kampung Yak Yah, dekat sini.

Kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Kemaman, kira-kira 7 petang.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki pasangan terbabit dalam perjalanan dari arah Kemasik ke Ibuk dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Berikutan itu, kereta mangsa merempuh Proton Gen2 sebelum Perodua Myvi gagal mengelak lalu merempuh pula bahagian belakangnya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

myMetro 28 November 2015


Kasih hingga hujung nyawa

Kemalangan tiga kenderaan ini menggemparkan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.

KEMAMAN – Cinta sejati pasangan suami isteri yang hidup bersama lebih 40 tahun, dibawa hingga ke hujung nyawa mereka apabila kedua-duanya meninggal dunia hanya dalam tempoh berselang lapan minit.

Rifin Abdullah, 77 dan isteri, Lijah Hasan, 71, yang memiliki tujuh anak, menghembuskan nafas akhir mereka ketika sedang dirawat di Hospital Kemaman selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ibok-Kemasik, dekat Bukit Mok Sono, di sini, kira-kira jam 4.25 petang kelmarin.

Nahas itu berlaku ketika Rifin, yang juga pesara tentera, bersama keluarganya sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak perempuannya ke rumah besan di Marang sempena majlis menyambut menantu.

Bagaimanapun, lebih kurang satu kilometer sebelum tiba di rumah mereka di Kampung Yak Yah, di sini, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki lapan beranak terbabit, tiba-tiba terbabas ketika melalui selekoh hingga kenderaan itu melintangi jalan.

MPV terbabit kemudian dirempuh sebuah Proton Gen 2 yang datang dari arah bertentangan, manakala Gen 2 terbabit pula dilanggar dari belakang oleh sebuah Perodua Myvi yang tidak sempat mengelak.

Kejadian itu mengakibatkan tiga lagi mangsa cedera parah, termasuk cucu Rifin yang berusia enam bulan.

Rifin yang cedera di kepala dan dada serta pengsan sejurus selepas kemalangan berlaku, disahkan meninggal dunia pada jam 6.47 petang, diikuti isterinya pada jam 6.55 petang.

Anak tercampak atas jalan

Menurut anak pasangan terbabit, Saipu Azri, 34, yang menaiki kenderaan bersama orang tuanya itu, sebaik kemalangan berlaku, ibunya masih sedarkan diri dan sempat bercakap dengannya ketika dalam ambulan serta setelah tiba di hospital.

“Saya nampak bagaimana MPV kami dilanggar sebab saya duduk di tepi tingkap kiri di kerusi penumpang barisan kedua. Sejurus kenderaan kami dirempuh, anak sulung saya (Siti Amira, 3) tercampak ke atas jalan.

“Tapi mujurlah lepas tercampak, dia boleh bangun sendiri dan berjalan semula ke arah kenderaan kami.. cuma kepalanya berdarah,” katanya yang patah bahu kiri dan menerima tujuh jahitan di dahi ketika ditemui di rumah arwah ibu bapanya di Kampung Yak Yah, semalam.

Bayinya, Siti Aisyah, berusia enam bulan, yang ketika itu berada dalam dakapan isterinya, Suliati Abdullah, 33, kerana sedang menyusu, mengalami patah paha kiri, manakala isterinya cedera di kepala.

Ketika kejadian, bapanya duduk di tempat duduk penumpang hadapan, manakala ibunya duduk di tempat duduk tengah di barisan kerusi pertama.

“Lepas kemalangan, ayah dikeluarkan orang awam. Mak pula walaupun tidak pengsan, tapi nampak lemah. Memang mak lemah semangat kalau berlaku kejadian mengejutkan seperti itu. Kami tak sangka mak dan ayah ‘pergi’ bersama akhirnya,” katanya yang merupakan anak keenam.

Saipu Azri yang bekerja di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) berkata, mereka bergerak balik dari Marang pada jam 2.30 petang dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah, ibu bapanya tidak banyak bercakap seperti biasa.

Ibu bapa berubah sikap

Sementara itu, kakak Saipu Azri, Suria, 41, mengakui, dia tidak menyangka perubahan sikap orang tuanya itu menjadi petanda mereka akan ‘pergi bersama’.

“Sejak sebulan kebelakangan ini, arwah ayah pesan agar kami jadikan rumahnya sebagai tempat berkumpul setiap kali hari raya. Dia tak wasiatkan rumah itu pada mana-mana anak.

"Arwah mak pula kerap pesan agar ambil beg tangan berwarna hitam miliknya jika ada apa-apa berlaku kerana dalam beg itu ada nama orang yang dia berhutang. Orang itu ada hubungan saudara juga dengan mak. Namanya Rahmah dan tinggal di Jerantut, Pahang," katanya.

Justeru, bagi menunaikan wasiat arwah ibunya, Suria memohon Rahmah atau orang yang kenal dengannya agar menghubungi keluarga mereka di talian 012-9609156 disebabkan usaha untuk hubungi saudaranya itu gagal kerana nombor telefon yang ada sudah tidak digunakan.

Jenazah ibu bapa mereka selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ibok pada jam 12 tengah hari semalam.

Seorang lagi mangsa dipindah ke HTAA

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian dan memaklumkan, seorang mangsa yang cedera parah adalah penumpang Proton Gen 2, Norijan Hussin, 46, yang terpaksa dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dihantar ke Hospital Kemaman

Sinar Harian 29 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment