November 30, 2015

Suami, isteri maut tersepit


BEGINILAH keadaan kereta yang dinaiki Khairul Anwar bersama keluarganya selepas bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 14.7 Jalan Seremban-Tampin semalam.

REMBAU – Hasrat sepasang suami isteri pulang bercuti di kampung mereka di Seremban tidak kesampaian apabila pasangan itu maut manakala anak mereka cedera parah selepas kereta dinaiki keluarga itu bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 14.7 Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Ladang Hentian Tinggi di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, pekerja kilang, Khairul Anwar Tajuddin, 34, dan isterinya, Murni Muhammad, 26, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelaki pasangan itu, Muhammad Muizuddin, 2, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Nahas membabitkan kereta Proton Persona yang dinaiki keluarga terbabit dengan sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki yang turut mengalami kecederaan parah dipercayai patah kaki.

Difahamkan, keluarga terbabit dalam perjalanan dari Melaka ke Seremban untuk bercuti.

Kosmo 30 Nov 2015


Menangis lihat bilik ayah, umi

ROHANI melihat Muiz memeluk baju peninggalan arwah ibu bapanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, semalam.

Seremban: “Pagi tadi (semalam), Muiz menunjukkan bilik arwah umi dan ayahnya. Apabila saya membawanya masuk, dia terus menangis,” kata Rohani Adam, 62, menceritakan gelagat cucunya Muhammad Khair Muizzuddin, 2, yang kini yatim piatu selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam nahas di Kilometer 14.7, Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ladang Hentian Tinggi, Rembau, kelmarin.

Dalam kejadian itu, ibu bapa Muiz, Khairul Anwar Tajuddin, 34, dan Murni Muhamat, 26, meninggal dunia di tempat kejadian selepas Proton Persona yang mereka naiki bertembung dengan Honda Civic yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan, jam 6 pagi.

Menurut Rohani, cucunya itu masih terlalu kecil menyebabkan dia tidak tahu bagaimana mahu menceritakan kejadian sebenar menimpa kedua-dua ibu bapanya.

“Naluri saya dapat merasakan yang Muiz masih trauma dan merindui kedua ibu bapanya. Muiz sudah dibenarkan keluar wad petang semalam (kelmarin) selepas pemeriksaan doktor mendapati keadaannya baik, cuma luka ringan di perut.

“Dia lebih banyak tidur dan tidak bercakap, kemungkinan trauma. Saya terpaksa meriba Muiz supaya dia dapat menatap wajah umi dan ayahnya untuk kali terakhir sebelum dikebumikan, malah dia juga tidak memanggil nama umi dan ayahnya, sebaliknya hanya menangis selepas melihat jasad mereka,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Jiboi Baru, Ampangan di sini, semalam.

myMetro 1 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment