November 11, 2015

Suami isteri maut dua kenderaan bertembung

KERETA yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba

Banting: Suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 64.5 Jalan Klang-Banting berhampiran Tanjung Sepat, di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 6 petang itu, Md Sajuni Mero, 61, dan isterinya, Asmah Tomas, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Difahamkan, kereta yang dipandu Mad Sajuni hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Kuala Langat, Asisten Superintendan Mohd Ayob Abu berkata, kereta yang dinaiki mangsa kemudiannya masuk ke dalam parit.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, mangsa yang dalam perjalanan dari Sungai Pelek menuju ke rumah mereka di Kampung Endah maut kerana tersepit di tempat duduk depan.

"Pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa dari kereta yang terbabas ke dalam parit.

"Pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata,kereta yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda turut dihantar ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 9 November 2015


0 comments:

Post a Comment