November 21, 2015

Setia di sisi ibu koma


MOHAMAD Idham menyuap susu kepada Zabidah yang menghidap penyakit kronik.

Pasir Mas: Enam bulan ibunya koma dan selama itu jugalah seorang remaja di Kampung Pengkalan Batu, di sini, setia menjaga insan yang melahirkannya walaupun terpaksa mengorbankan alam persekolahan.

Mohamad Idham Mohd Nor, 16, yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Pasir Mas, di sini, mengakui rekod kehadirannya ke sekolah tidak cantik kerana hanya memasuki kelas tiga kali dalam seminggu.

Baginya, dia mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada memenuhi tuntutan berkenaan iaitu menjaga ‘syurganya’ yang kini terlantar sakit dan memerlukan perhatian.

Katanya, sebagai anak lelaki sulung daripada dua beradik, dia juga ketua keluarga dan mengambil alih tugas ibunya, Zabidah Mat Hasshim, 53, yang sudah bercerai dengan bapanya sejak 10 tahun lalu.

“Tak mungkin saya abaikan Ma (panggilan untuk ibu). Kami sudah tiada sesiapa, Ma sahaja yang ada.

“Saya dan adik, Zanatul Nor Afini, 11, terlalu rindu untuk bermesra dengan Ma. Tetapi, hanya ayat ‘Ma letih, nak berehat sebentar’ yang mampu saya kenang hingga kini.

“Ungkapan itu Ma sebut seminggu sebelum Ramadan lalu dan kemudian dia sesak nafas dan tidak sedarkan diri hingga ke hari ini.

“Ma memang menghidap penyakit asma dan ia semakin teruk pada Mei lalu. Ma dimasukkan ke Hospital Lati sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohamad Idham berkata, selama sebulan dirawat, Zabidah tidak menunjukkan perkembangan positif menyebabkan keluarganya membuat keputusan membawanya pulang ke rumah.

Sejak itu, katanya, dia bergilir-gilir dengan bapa saudara, Amran Mat Hasshim, 51, yang juga adik bongsu Zabidah menjaga wanita itu.

Menurutnya, mereka perlu memberi dia minum susu, mengelap badan sekurang-kurangnya tiga kali sehari selain mengurut.

“Pak cik bekerja di kilang roti berdekatan rumah. Apabila dia bekerja, saya terpaksa ponteng sekolah untuk jaga Ma. Hanya apabila dia tidak ke kilang barulah saya ke sekolah.

“Sebab itulah rekod kehadiran saya hanya tiga hari seminggu. Saya bersyukur kerana guru dan pihak sekolah memahami kesusahan kami sekeluarga,” katanya.

“Biarlah saya seorang yang berkorban demi Ma,” katanya yang sentiasa berdoa dan berharap ibunya sedar serta pulih kembali.

Bagi meneruskan kehidupan, remaja itu berkata, mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Katanya, wang itu juga dimanfaatkan membeli lampin pakai buang dan susu Zabidah berharga RM80 setin manakala untuk perbelanjaan sekolah, dia hanya menggunakan wang zakat yang diberikan masyarakat setempat selain sumbangan guru.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan
Nasional (BSN), 03007-41-00015411-3, atas nama Mohamad Idham Mohd Nor.

myMetro 21 November 2015


Kami rindu nak dengar suara mama’

Dari kiri, Mohammad Idham dan adiknya, Zanatul sangat rindukan suara serta belaian ibu yang koma sejak enam bulan lalu, disamping mereka ialah bapa saudara, Amran.

PASIR MAS - “Sudah lama kami tidak mendengar suara mama (ibu) dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya kami kepadanya.”

Itulah luahan sayu Mohammad Idham Mohd Nor, 16, selepas ibunya, Zabedah Hashim, 53, koma sejak enam bulan lalu.

Mohammad Idham berkata, perasaan rindu semakin membuak-buak apabila hanya mampu melihat ibunya terpaksa bertarung nyawa dan mengharapkan bantuan alat pernafasan untuk meneruskan hidup.

“Saya sentiasa berdoa agar ma kembali seperti sebelum ini dan segera pulih bagi membolehkan kami sekeluarga menjalani kehidupan seperti dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, di sini.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan ibunya itu seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

“Ma beritahu dia mahu berehat. Selepas itu, dia mengalami sejak nafas dan kemudiannya tidak sedarkan diri sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Mohammad Idham berkata, dia lega apabila tugas menjaga ibunya itu turut dibantu bapa saudara, Amran Hashim, 50.

Bagaimanapun katanya, dia terpaksa ponteng sekolah dan bergilir-gilir dengan bapa saudaranya kerana mahu menjaga ibunya yang terlantar sakit itu.

“Saya hanya ke sekolah tiga hari sahaja dalam seminggu, itu pun apabila bapa saudara tidak bekerja, barulah saya akan ke sekolah.

“Jika bapa saudara bekerja, saya perlu menjaga ibu kerana dalam keadaan sekarang, ibu tidak boleh ditinggalkan seorang diri,” katanya.

Menurutnya, dia sanggup berkorban apa sahaja untuk keluarga dan hanya adiknya, Zanatul Nor Afini, 11, yang ke sekolah setiap hari.

"Syukur kerana guru memahami kepayahan dan kesulitan yang saya alami," katanya.

Bagi meneruskan kehidupan, Mohammad Idham berkata, mereka bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan yang diberikan kepada ibunya.

“Selain itu, bapa saudara juga jadi tempat kami bergantung walaupun dia hanya bekerja di kilang roti dan berpendapatan RM20 sehari sahaja.

“Dengan hasil pendapatan itulah, kami perlu menyediakan kelengkapan ibu seperti susu berharga RM80 satu tin yang hanya mampu bertahan seminggu dan lampin pakai buang,” katanya.

Menurutnya, sebelum ibunya koma, wanita itu menyara dia dan adiknya dengan hasil jualan kuih muih selepas bercerai dengan bapa mereka, 10 tahun lalu.

"Kini apabila ibu koma, kami dua beradik hanya mampu menumpang kasih bapa saudara yang masih belum berkahwin," katanya.

Sinar Harian 20 Nov 2015



0 comments:

Post a Comment