November 24, 2015

Sempat lari


Seremban: Sepasang suami isteri berlari sejauh 10 meter untuk menyelamatkan diri apabila kereta Toyota Altis dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya, di sini, semalam.

Kejadian jam 10.55 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 49 tahun bersama isterinya berusia 36 tahun mahu membuat pusingan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban S Maya berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.11 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi.

“Pasukan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian dan mendapati api marak. Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit berjaya menyelamatkan diri.

“Bomba mengambil masa 10 minit bagi memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berlaku dari bahagian enjin kereta dan disedari pemandu menyebabkan mereka sempat mematikan enjin dan keluar dari kereta.

Beliau berkata, kereta terbabit terbakar 85 peratus, namun punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

myMetro 24 November 2015

0 comments:

Post a Comment