November 30, 2015

Sekolah, rumah panjang terjejas banjir di Selangau

Anggota Bomba dan Penyelamat membantu penduduk berpindah berikutan paras Sungai Selangau melimpah membanjiri kawasan rendah. - Foto Ihsan Bomba

Sibu: Dua sekolah rendah dan empat rumah panjang di daerah Selangau, dekat ini, terjejas akibat banjir hari ini selepas hujan lebat sejak semalam.

Air yang naik sehingga satu meter menyebabkan 20 keluarga termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang bayi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tong Ah, Selangau.

Menurut sumber Pejabat Pendidikan Daerah Selangau, banjir dengan ketinggian satu meter turut melanda SK Sungai Kua, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Rumah Banyan, Rumah Linggo dan Rumah Judan dilaporkan terputus hubungan apabila jalan raya ke rumah panjang berkenaan ditenggelami air, namun tiada pemindahan dilakukan kerana keadaan masih selamat.

Turut terjejas Rumah Jawa, Rantau Urau apabila kawasan rumah panjang mereka mula dinaiki air hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Sibu Kapten (PA) Frankie John berkata, pihaknya bersama anggota 9 Briged Infantri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah terus memantau keadaan banjir agar dapat memindahkan penduduk yang terbabit sekiranya air sungai terus naik. - Bernama

myMetro 29 November 2015



0 comments:

Post a Comment