November 12, 2015

Santai terakhir sebelum rakan ditemui mati

KUCHING: Seorang wanita sempat melepak bersama rakan-rakannya untuk kali terakhir sebelum ditemui mati di dalam bilik mandi di rumahnya di Kenyalang Park, di sini semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 38 tahun dan dikenali sebagai Phua amat rapat dengan rakan-rakannya, malah turut membawa mereka tinggal bersama.

Difahamkan, mangsa sebelum ditemui mati tidak menunjukkan sebarang petanda dan sempat melepak bersama rakan-rakannya itu sehingga jam 4.30 pagi semalam.

“Sekitar jam 7 pagi, seorang daripada rakan mangsa bangun dari tidur dan berasa hairan apabila melihat lampu masih bernyala dan mangsa juga tidak berada dalam bilik tidur.

“Rakannya itu kemudian terus mencari mangsa dan menemuinya terbujur kaku di lantai bilik mandi dan segera memaklumkan kepada rakan lain,” kata sumber.

Rakan mangsa selepas itu turut menghubungi ambulans yang kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Pihak polis turut dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Utusan Borneo 7 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment