November 2, 2015

Rupanya sepupu

ANGGOTA bomba memeriksa MPV yang kemalangan.

Machang: “Saya rebah apabila mendapati mangsa yang meninggal dunia sepupu saya berdasarkan gambar kad pengenalannya,” kata Tuan Ruzi Tuan Seng, 47, sepupu Mohd Sabri Abdul Rahman, 51, seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berdekatan Bukit Belah, Machang di sini, jam 2.15 petang semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Sabri bersama isterinya, Hilwani Hassan, 36, dan anak mereka, Nurul Atira, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza bertembung dengan lori kren.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Avanza berkenaan gagal memotong kenderaan di depan sebelum bertembung dengan lori kren terbabit. Pemandu lori kren berkenan pula selamat.

Tuan Ruzi yang juga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang berkata, Mohd Sabri baru saja pulang daripada urusan kerja di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORIM) di Ajil, Kuala Terengganu dan mahu pulang ke rumah di Teluk Jering, Tumpat bersama isteri dan anak mereka.

“Saya dimaklumkan berkaitan kemalangan namun tidak tahu siapa yang terbabit dengannya. Bagaimanapun, saya berfikir panjang selepas melihat nombor pendaftaran kenderaan mangsa kerana saya seolah-olah cam dengan nombor pendaftaran berkenaan.

“Selepas tamat bekerja jam 4 petang, saya yang berehat di kedai makan membuka aplikasi WhatsApp dan terkejut sebaik melihat gambar kad pengenalan sepupu sebagai mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.

“Saya bergegas ke Hospital Machang dan menghubungi ahli keluarga yang lain untuk memaklumkan kejadian menimpa Mohd Sabri,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, semalam.

Tuan Ruzi berkata, dia rapat dengan mangsa dan kali terakhir mereka berjumpa ialah pada Aidilfitri lalu.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Mohd Ashraf Ali Kutty berkata, mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

myMetro 1 November 2015


Tiga terbunuh langgar kren

IHSAN pembaca HM

Machang: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan jentera berat (kren) di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Bukit Belah, Machang, di sini, 2.15 petang, hari ini.

Pemandu lelaki berusia 51 tahun dan dua wanita berusia 36 tahun serta seorang yang belum dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu MPV berkenaan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu dipercayai cuba memotong, namun gagal sebelum melanggar jentera berat itu dari arah bertentangan.

Katanya, akibat pelanggaran itu pemandu dan dua penumpang mengalami maut.

"Mereka dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat. Pemandu jentera berat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, di sini.

myMetro 31 Oktober 2015


Anak janji tunai pesan akhir bapa

TUMPAT – “Saya nak tunai pesanan terakhir ayah minta saya belajar ‘molek’ (bersungguh-sungguh).

“Walau pun hakikatnya hati saya sedih sangat kehilangan ayah, mak dan adik sekelip mata, saya akan masuk periksa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok (hari ini),” kata Muhamd Firdaus Mohd Sabri, 17.

Muhamad Firdaus, adalah anak sulung Allahyarham Mohd Sabri A Rahman, 51, yang maut bersama isteri dan anak bongsunya dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berdekatan Bukit Belah, Machang, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak ikut sama ke tempat kenduri kawan bapanya di Kuala Krai kerana kelmarin bersekolah ganti.

Katanya, tiada apa-apa yang mencurigakan kerana dia ada menerima panggilan daripada ibunya, Hilwani Hassan, 36, yang menelefonnya sebaik dia pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat.

Menurutnya, hanya neneknya, Rubiah Ya, 58, rasa tidak sedap hati kerana mereka lambat balik sehinggalah dimaklumkan mereka terlibat dalam satu kemalangan.

Muhammad Firdaus berkata, hanya mengetahui kemalangan itu kira-kira jam 5.30 petang selepas dimaklumkan bapa sepupunya.

Tiga beranak terbabit, Mohd Sabri yang juga Penolong Pegawai Penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORIM), isterinya Hilwani Hassan 36 dan anak bungsunya, Nurul Athirah, 13 terlibat kemalangan  di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu- Kuala
Krai berdekatan Bukit Belah, Machang, kelmarin.

Mereka menaiki kereta pelbagai guna jenis Toyota Avanza  ke Kuala Krai untuk menghadiri kenduri rakan Mohd Sabri bagaimana pun dalam perjalanan pulang  kira-kira jam 2.15 mereka terlibat dalam kemalangan ngeri apabila bertembung dengan sebuah
kren.

Muhamad Firdaus yang kini tinggal bersama neneknya Rubiah di rumah peninggalan ayahnya di kampung Chenderung, Teluk Jering untuk meneruskan kehidupannya dan berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh demi hasrat arwah ayahnya.

“Walau pun dia telah pergi untuk selama-lamanya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk buktikan pada arwah ayah saya akan menjadi anak yang berguna kelak,” katanya.

Menurutnya, ketika hayat, arwah bapa dan ibunya banyak memberi sokongan untuk dia memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM  dan berjanji akan membelikan sebuah kereta Perodua Axia tahun depan selepas dia memperoleh lesen kenderaan.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Jering kira-kira jam 10.30 dalam satu liang lahad, semalam.

Sinar Harian 2 Nov 2015




0 comments:

Post a Comment