November 20, 2015

Remuk dihempap foklif

Mangsa maut dihempap foklif di kawasan kilang, semalam.

Kajang: Seorang warga Bangladesh maut dalam keadaan mengerikan selepas kepalanya dihempap kenderaan pengangkut barang atau foklif seberat lebih dua tan.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi semalam, mangsa Muhammad Neton, 30, mati di kawasan kilang berhampiran Perindustrian Budiman, Balakong di sini.

Difahamkan nahas berlaku apabila mangsa gagal mengawal kenderaan itu yang mengundur sebelum terbalik lalu menghempapnya.

Rakan mangsa dikenali sebagai Khir berkata, mangsa ketika itu mengalihkan besi dengan menggunakan kenderaan itu.

“Saya terdengar bunyi objek jatuh ketika berehat sebelum nampak foklif terbalik dan menghempap rakan.

“Saya bersama beberapa rakan sekerja lain mendapati mangsa meninggal dunia berikutan leher dan kepalanya remuk dihempap kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.18 pagi dan sepasukan anggota bomba dan penyelamat Kajang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba memindahkan kenderaan itu sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

myMetro 19 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment