November 3, 2015

Remaja terbaring atas jalan maut dilanggar

BAU: Seorang remaja dari Kampung Podam di sini, maut di tempat kejadian dalam satu kemalangan di Kilometer Tiga Jalan Bau-Kuching, awal pagi semalam.

Dalam insiden sekitar jam 5.50 pagi itu, difahamkan pemandu Perodua Kancil gagal mengelak daripada melanggar mangsa yang dikenal pasti sebagai Risem Tilim Tonek, 15, yang dikatakan terbaring di atas jalan raya.

Pemandu yang difahamkan merupakan seorang guru terus ke Balai Polis Bau bagi membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Bau DSP Mohd Sabri Zainol yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa terbaring di atas jalan raya sebelum dilanggar oleh kenderaan tersebut.

“Tidak ada saksi bebas yang nampak kejadian. Semasa kejadian, cuaca adalah baik tetapi berkabus tebal dan gelap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sampel darah mangsa dan pemandu telah diambil untuk dianalisis di Jabatan Kimia, katanya.

Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Bau untuk tindakan lanjut dan siasatan masih diteruskan.

Utusan Borneo 3 Nov 2015


Padah baring atas jalan

ANGGOTA polis melakukan siasatan dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bau-Kuching, kelmarin.

Kuching: Seorang lelaki ‘menempah maut’ apabila berbaring atas jalan raya sebelum dilanggar sebuah Perodua Kancil dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Bau-Kuching, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, Risem Tilim Tonek, 25, dari Kampung Podam, di sini, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pemandu yang bekerja sebagai guru berusia 53 tahun itu tidak menyedari kewujudan mangsa yang berbaring di tengah jalan.

Menurutnya, keadaan di lokasi kejadian ketika itu berkabus dan agak gelap.

“Guru yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seniawan, di sini, tidak sempat memberhentikan kenderaan apabila ternampak mangsa berbaring atas jalan kerana sudah terlalu hampir.

“Lelaki itu terlanggar mangsa sekali gus menyebabkan kecederaan di kepala dan badan,” katanya.

Sejurus kejadian, guru terbabit segera pergi ke Balai Polis Bau untuk membuat laporan polis dan sepasukan anggota trafik bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.

Beliau berkata, pasukan paramedik Hospital Bau mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat dihantar ke rumah mayat untuk tindakan lanjut.

Sabri berkata, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 3 November 2015

0 comments:

Post a Comment