November 3, 2015

Ramai tiada dokumen

KAD PENGENALAN HIJAU: Peter (kanan) dan K.C Tan menunjukkan salah satu dokumen pengenalan diri berwarna hijau yang dikeluarkan kepada salah seorang rakyat negeri ini yang perlu diperbaharui setiap lima tahun sekali.

KUCHING: Kempen 300,000 tandatangan Sarawak for Sarawakians (S4S) bagi menyokong petisyen untuk menggubal satu akta referendum, akhirnya membawa kepada penemuan masalah yang lebih serius di kalangan rakyat negeri ini.

Pada sidang media di sini semalam, jurucakap S4S, Peter John Jaban berkata sepanjang kempen ini bermula 16 September 2015, sukarelawan S4S menemui sebilangan besar anak Sarawak yang tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

Kes-kes ini ditemui di kawasan luar bandar dan bandar berpunca daripada ibu bapa yang tidak mempunyai kad pengenalan sekali gus menyebabkan anak dilahirkan tanpa dokumen yang betul.

“Dalam banyak kes, rakyat Sarawak ini telah banyak kali membuat rayuan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi menemui kegagalan.

“Ada pula kes di mana rakyat Sarawak yang tidak pernah meninggalkan negeri dikeluarkan dengan kad pengenalan diri hijau yang perlu diperbaharui setiap lima tahun sekali seperti yang digunakan oleh pekerja asing.

“Berikutan masalah seperti ini, sudah pasti mereka tidak dapat menandatangani petisyen kami sekali gus dinafikan hak-hak mereka daripada mengundi serta menikmati keistimewaan-keistimewaan lain sebagai rakyat negeri dan negara ini,” katanya.

Tambah Peter, sukarelawan S4S tidak menolak bilangan rakyat tanpa dokumen diri yang sah ini mungkin lebih ramai jika kempen ini digerakkan ke kawasan yang jauh ke pedalaman negeri ini.

Susulan permasalahan ini, S4S dengan kerjasama SADIA menurut Peter, berhasrat untuk melancarkan kempen bagi membantu golongan tidak bernasib baik ini dalam permohonan mereka selepas petisyen ini selesai nanti.

Mengulas mengenai perkembangan kempen itu, Peter berkata setakat ini kumpulan ini telah berjaya memperolehi 112,000 tandatangan daripada rakyat Sarawak. Sasaran adalah 300,000 menjelang 31 Disember 2015.

Buat masa ini, petisyen S4S adalah khusus untuk menggubal satu akta referendum bagi melindungi hak-hak Sarawak.

Menerusi Akta Referendum ini, rakyat negara ini khususnya Sarawak berpeluang untuk bersuara mengenai isu serta polisi yang menggugat hak-hak mereka sebagai rakyat.

Antara kandungan petisyen ini adalah untuk menggesa kerajaan negeri dan persekutuan menyemak serta memperbetulkan status seperti yang termaktub dalam Perlindungan Khas.

Ia adalah bagi menjamin hak-hak Sarawak dengan syarat-syarat yang lebih adil akibat daripada persekitaran yang sentiasa berubah serta menuntut kembali hak-hak yang sudah terhapus.

Antara hak-hak rakyat Sarawak yang sudah terhapus ialah kebebasan beragama, kawalan imigresen, kedudukan istimewa bagi kaum Bumiputera Sarawak serta pemilikan sumber semula jadi Kerajaan Negeri Sarawak.

Petisyen ini juga penting untuk membolehkan menggubal satu perundangan baharu referendum supaya rakyat Sarawak berkuasa mengundi dalam menentukan hal ehwal awam yang penting. Ini juga untuk memastikan rakyat Sarawak boleh membuat keputusan demi kepentingan dan masa depan Sarawak serta isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal awam.

Antara lain petisyen ini juga bagi memperkenankan peruntukan tambahan dalam Perlembagaan Sarawak supaya mana-mana cadangan untuk meminda atau menghapuskan peruntukan itu hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada rakyat Sarawak melalui referendum.

Utusan Borneo 3 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment