November 25, 2015

Polis minta kerjasama awam cari orang hilang

You Eng

BATU PAHAT - Polis daerah ini meminta bantuan daripada orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 13 Disember 2005.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, seorang lelaki, Chai Hui Peng@Chua Huat Choon, 61, menyatakan isterinya tidak pulang ke rumah sehingga kini.

Menurut Din, pihaknya turut diberitahu lokasi terakhir Lim You Eng, 47, dilihat pada jam 7 petang, sebelum kehilangannya.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya untuk mengesan You Eng yang kini dikategorikan sebagai orang hilang oleh polis.

Selain itu katanya, keluarga wanita itu juga tidak putus berusaha mencarinya termasuk menyiarkan kehilangannya di surat khabar namun sehingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Begitu juga dengan semakan yang dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang sehingga kini tiada laporan menyatakan wanita itu sudah meninggal dunia.

“Usaha mencari masih diteruskan, dan kini pihak polis meminta bantuan daripada orang ramai mengesan You Eng. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran jika terlihat atau mengenalinya,” katanya.

Din berkata, berdasarkan bentuk fizikal orang hilang itu, dia adalah seorang wanita berketinggian lebih kurang 1.55 meter dengan berat badan lebih kurang 65 kilogram.

Jelasnya, wanita itu juga memiliki bentuk wajah yang bulat, berkulit cerah dan berambut hitam.

“Kali terakhir setelah keluar rumah kira-kira 10 tahun lalu, You Eng yang juga seorang suri rumah dilaporkan tidak pulang sehingga kini.

“Mereka yang menemui atau mengetahui kejadian ini dan mempunyai maklumat berkaitan, boleh menghubungi talian Hotline IPD Batu Pahat, iaitu 07-4343999 atau datang ke IPD Batu Pahat untuk sebarang maklumat yang diperoleh,” katanya.

Sinar Harian 24 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment