November 25, 2015

Petaka jatuh basikal

Roslina mendukung anaknya yang lumpuh untuk diletakkan di atas katil.

Sik: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa berhenti sekolah apabila disahkan lumpuh dari bahagian pinggang hingga kaki sejak lima bulan lalu selepas terjatuh dari basikal.

Mohd Syazwan Zaidi, 8, terjatuh dari basikal ketika bermain di kawasan rumahnya Julai lalu.

Ibunya, Roslina Khusin, 38, berkata, pada mulanya, anaknya hanya jatuh basikal dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mohd Syazwan hanya sakit pinggang pada waktu malam selepas terjatuh dan saya serta suami, Zaidi Zainal Abidin, 42, membawanya ke hospital kerana sakitnya itu berlarutan selama dua hari.

“Doktor melakukan X-ray ke atasnya namun mendapati seluruh badan anaknya sihat dan tidak patah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pau, semalam.

Roslina berkata, disebabkan keadaan Mohd Syazwan tidak menunjukkan sebarang perubahan untuk sembuh meskipun dia boleh berjalan, mereka cuba rawatan tradisional.

“Selepas rawatan, anak saya menjadi lembik dan terus tidak boleh berjalan. Saya terus merujuk kepada doktor dan Mohd Syazwan disahkan mengalami masalah kegagalan fungsi saraf membuang najis di mana saluran kencingnya tersumbat.

“Sehingga kini, anak saya terpaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak dapat bergerak dan perlu dipantau sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya, sejak itu, dia mencuba pelbagai rawatan termasuk memberi minum air zam zam dan menghantarnya ke pusat rawatan Islam di Tunjang, Jitra dan sudah menunjukkan tindak balas baik.

Roslina berkata, dia dan suami sentiasa berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan anak mereka sembuh, namun kadangkala kekangan kewangan menghalang mereka pergi jauh untuk berubat.

“Pendapatan suami sebagai tukang rumah hanyalah RM50 sehari dan terpaksa menanggung semua keperluan harian serta tiga lagi persekolahan anak kami yang masing-masing berusia empat hingga 14 tahun,” katanya.

myMetro 25 November 2015

0 comments:

Post a Comment