November 21, 2015

Pesawat ringan mendarat cemas, juruterbang cedera

Pesawat yang rosak selepas juruterbangnya mendarat cemas di padang golf sebuah villa di Bandar Putra, Kulaijaya. FOTO ihsan pembaca

Kulaijaya: Juruterbang cedera selepas pesawat ringan jenis Piper 28 yang dipandunya terpaksa membuat pendaratan cemas di padang golf sebuah villa di Bandar Putra di sini.

Jurucakap di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) berkata, kejadian kira-kira 1.10 tengah hari itu berlaku selepas lelaki dipercayai berusia 30-an yang sedang membuat latihan penerbangan terpaksa membuat pendaratan selepas mengesyaki berlaku kerosakan pada enjin pesawat dipandunya.

"Pesawat ringan jenis Piper 28 itu milik sebuah kelab penerbangan yang berpengkalan di Senai," katanya.

Juruterbang itu kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Sri Maharaja Ibrahim di sini, untuk dirawat.

myMetro 20 November 2015


Pesawat terhempas di padang golf

KULAI – Seorang juruterbang warga Singapura berdepan detik cemas apabila pesawat ringan yang dipandunya terhempas ketika melakukan pendaratan cemas di Kelab Golf IOI Palm Villa, Senai di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa yang mengen­dalikan pesawat ringan jenis Piper Warrior PA 28 sedang membuat latihan penerbangan.

Pesawat ringan terbabit dipercayai milik sebuah kelab penerbangan yang berpangkalan di Senai di sini.

Kosmo! difahamkan, juruterbang berusia dalam lingkungan umur 30-an itu telah mengesyaki berlaku kerosakan pada bahagian enjin pesawat itu sebelum mengambil keputusan membuat pendaratan cemas tersebut.

Bagaimanapun, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Ramli Hassan berkata, sepasukan anggota polis telah bergegas ke tempat kejadian untuk tindakan lanjut selepas pihaknya me­nerima maklumat pada pukul 1.06 petang.

Kosmo 21 Nov 2015




0 comments:

Post a Comment