November 24, 2015

Penunggang motosikal maut dirempuh Porsche


Keadaan kereta Porsche yang remuk teruk akibat merempuh pagar. - Foto HARUN YAHYA

Mayat Ting Yew Kui, 50, yang tercampak ke dalam kawasan gereja. - Foto HARUN YAHYA

Sibu: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kereta mewah Porsche di Jalan Tun Abang Openg di sini, tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Ting Yew Kui, 50, yang cedera parah di kepala selepas tercampak ke kawasan perkuburan dalam gereja berhampiran, disahkan maut di tempat kejadian.

Akibat rempuhan kuat itu kereta Porsche berkenaan remuk teruk kerana melanggar tembok pagar gereja.

Sejurus kejadian pemandu Porsche meninggalkan lokasi kejadian dan tersebar di Facebook mendakwa berlaku kejadian langgar lari dengan pemandu Porsche melarikan diri.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Martin Koo berkata, pemandu kereta mewah itu dihantar ke sebuah hospital swasta di bandar ini oleh rakannya untuk rawatan kerana kecederaan, bukannya melarikan diri seperti tersebar di Facebook.

Katanya, pemandu terbabit bukan pemilik kenderaan itu dan kemalangan berkenaan masih dalam siasatan.

myMetro 23 November 2015


Nyawa diragut Porsche

DITINGGALKAN: Pemandu Porsche lari meninggalkan keretanya di tempat  kejadian selepas kemalangan itu. 

TARIK PERHATIAN: Kemalangan ngeri itu menarik perhatian orang ramai di kawasan sekitar tempat kejadian. 

DAHSYAT: Mayat mangsa kelihatan terdampar di atas kubur berdekatan gereja dengan bajunya tersangkut pada batu nisan (salib) kubur tersebut.

Lelaki maut dirempuh kereta mewah milik anak orang kenamaan di Sibu semalam

SIBU: Seorang lelaki pertengahan umur maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta mewah milik seorang anak orang kenamaan di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini, petang semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Ting Yew Kui, 50, sedang menunggang motosikal jenis Yamaha dikatakan terpelanting ke arah kawasan perkuburan sebuah gereja berdekatan.

Kedua-dua kenderaan difahamkan menuju ke arah pusat bandar.

Difahamkan pemandu kereta jenis Porsche itu dipercayai melarikan diri kemungkinan ketakutan selepas insiden tersebut yang berlaku sekitar jam 6 petang.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut pihak polis trafik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mangsa mengalami pendarahan di kepala sudah tidak bernyawa lagi semasa mereka tiba di lokasi kejadian.

Mengikut kad pengenalan yang dijumpai di tempat kejadian, mangsa tinggal di Jalan Brooke Drive dekat sini.

Kemalangan tersebut telah menarik perhatian ramai menyebabkan lalu lintas agak perlahan di tempat kejadian.

Akibat perlanggaran tersebut, motosikal yang ditunggang mangsa rosak teruk selepas terbabas ke kawasan gereja manakala kereta mewah berkenaan kemek di bahagian depan selepas melanggar tembok pagar gereja.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Sehingga berita ini ditulis, pemandu kereta terbabit belum lagi menyerah diri kepada pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi mengesahkan bahawa kemalangan tersebut masih dalam siasatan pihaknya.

Utusan Borneo 24 November 2015

0 comments:

Post a Comment