November 12, 2015

Penjual ikan maut kereta langgar perhentian bas

SELAMATKAN: Usaha mengeluarkan mangsa giat dijalankan oleh pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serian.

SERIAN: Seorang penjual ikan dari Kampung Lintang Baru di sini, terbunuh akibat kecederaan dialaminya apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 58 Jalan Kuching-Serian, semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Chung Aik Peng berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.20 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Sahari, 46, dikatakan sedang memandu seorang diri menuju ke pasar Serian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar perhentian bas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Wira dipandunya berjaya dikeluarkan oleh pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serian.

Dia yang cedera parah serta dalam keadaan tidak sedarkan diri seterusnya dikejarkan ke Hospital Serian untuk menerima rawatan lanjut.

Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.50 pagi.

Dalam pada itu, Chung menasihati pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada bagi mengelak nahas daripada berlaku.

“Kemalangan ini (semalam) merupakan kes kemalangan ketiga sejak minggu lepas.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhemah dan kurangkan kelajuan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Pada 2 November lalu, seorang lelaki berusia 42 tahun maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan tanah 20 tan di Jalan Serian-Sri Aman, berhampiran Kampung Menyan, sekitar jam 10.15 pagi.

Manakala pada 6 November, seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun terbunuh apabila tercampak beberapa meter selepas dilanggar sebuah motosikal ketika menyeberang jalan di Kilometer 68 Jalan Kuching-Sri Aman, kira-kira jam 10.45 pagi.

Utusan Boreno 10 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment