Anggota polis membuat pemeriksaan ke atas serpihan tulang yang dibawa naik oleh pasukan bomba di Kampung Pak Keral, Tumpat semalam.
TUMPAT – Penduduk yang sedang melakukan kerja pembersihan tali air di Kampung Pak Keral di sini gempar selepas menemui serpihan tulang berselerakan dipercayai rangka manusia pada pukul 7 petang kelmarin.
Seorang penduduk, Fauzi Abdullah, 40, berkata, pada mulanya mereka menyangka rangka itu merupakan tulang binatang namun apabila diamati, ia kelihatan seperti anggota badan manusia.
“Semasa jengkaut menggali tali air itu, ada serpihan tulang terangkat naik ke atas tebing bersama-sama rumput.
“Kami turut menemui sepasang korset iaitu pakaian yang digunakan oleh wanita untuk melangsingkan badan berdekatan serpihan tulang tersebut,” katanya di sini semalam.
Fauzi memberitahu, penduduk kampung sendiri tertanya-tanya identiti sebenar tulang yang ditemui itu.
“Kami telah melakukan kerja pembersihan di kawasan ini sejak dua hari lalu dan sebelum ini, tiada pula saya dengar berita ada penduduk kampung hilang atau ditimpa sebarang kemalangan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasukan forensik telah mengambil serpihan tulang tersebut untuk mengenal pasti identiti mangsa.
“Kita akan tunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mendapatkan identiti sebenar mangsa,” ujarnya.
Kosmo 18 Nov 2015
Gempar jumpa serpihan tulang, korset tepi tali air
Penduduk gempar jumpa serpihan tulang dipercayai rangka manusia.
TUMPAT - Penduduk Kampung Pak Keral di sini gempar apabila menemui serpihan tulang dipercayai rangka manusia berhampiran dengan tali air di kampung tersebut.
Unit Forensik Polis kemudiannya ke lokasi penemuan itu bagi menjalankan siasatan selepas laporan dibuat oleh penduduk setempat.
Penduduk, Fauzi Abdullah, 40, berkata, pada mulanya penduduk menyangka ianya tulang binatang tetapi selepas mengamatinya, ia seperti rangka tangan manusia ditemui kira-kira jam 7 malam semalam.
"Ada kerja-kerja membersih tali air di sini sejak dua hari lepas. Masa jengkaut gali tali air ini, ada serpihan tulang terangkat naik atas tebing bersama rumput," katanya.
Menurutnya, paling mencurigakan apabila berdekatan tulang itu turut ditemui korset untuk melangsingkan badan yang sering dipakai oleh wanita.
Katanya, sejak semalam lagi orang ramai berpusu-pusu ke kawasan ini selepas tersebar penemuan rangka manusia di laman sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, pihaknya masih mencari serpihan rangka yang lain dengan bantuan pasukan bomba.
"Kita tidak menolak ia berkemungkinan rangka manusia. Usaha mencari rangka itu masih giat dilakukan pagi," katanya.
Sinar Harian 17 Nov 2015
"Kami tunggu keputusan ujian DNA dulu..."
Rokiah menunjukkan gambar Nur Zalila yang hilang dua tahun lalu dan menyifatkan terlalu awal untuk kaitkan penemuan serpihan tulang di kampung Pak Keral dengan anaknya.
TUMPAT - "Kami tunggu keputusan ujian DNA dulu... terlalu awal nak kaitkan serpihan tulang dipercayai rangka manusia yang ditemui di Kampung Pak Keral itu sebagai adik saya," kata Nurul Huda Ibarhim, 20.
Nurul Huda merupakan kakak kepada Nur Zalila Ibrahim, 12, yang dilaporkan hilang pada Jun 2013 dan dipercayai dilarikan oleh seorang 'tomboy' dikenali dengan nama Along.
Mangsa dikatakan dilarikan oleh 'tomboy' berkenaan selepas suspek menumpang tinggal selama beberapa hari di rumah mangsa di Kampung Jejulok, Pengkalan Kubor, dekat sini.
Turut lesap pada masa kejadian adalah motosikal jenis Honda EX-5 berwarna merah dengan nombor pendaftaran DBV 5347 yang dipercayai dinaiki suspek pada malam kehilangan Nur Zalila.
Menurut Nurul Huda, orang ramai mengaitkan penemuan serpihan tulang di Kampung Pak Keral dengan adiknya kerana sebelum ini, motosikal dilarikan suspek ditemui di dasar tali air berkenaan selepas tersangkut pada jala direntangkan penduduk.
"Polis ada panggil saya untuk buat pengecaman berhubung penemuan motosikal itu pada Ogos lalu di Balai Polis Pengkalan Kubor. Memang benar itu motosikal milik keluarga saya yang dilarikan oleh tomboy berkenaan.
"Sekarang ini bermacam-macam cerita tersebar mengenai penemuan serpihan tulang itu dan ada yang mengatakan ia adalah rangka 'tomboy' berkenaan, malah ada juga mengaitkan serpihan tulang itu dengan adik saya," katanya.
Tambahnya, mungkin lokasi serpihan tulang dan motosikal terbabit ditemui berdekatan dan hanya dipisahkan oleh pintu air menyebabkan bermacam cerita sebegitu tersebar.
Bagi mengesahkan identiti rangka itu, Nurul Huda memberitahu, darah ibunya, Rokiah Awang, 46, telah diambil untuk dilakukan ujian DNA di Hospital Raja Peprempuan Zainab II (HRPZ II).
“Kami juga berdebar menunggu keputusan ujian DNA itu kerana bertahun kami tunggu kepulangan Nur Zalila. Jika benar itu rangka adik saya, kami sekeluarga reda,” katanya.
Sinar Harian 18 Nov 2015
0 comments:
Post a Comment