November 20, 2015

Penduduk dipindah

KEADAAN rumah penduduk di Kampung Parit 6 yang dilanda banjir. Gambar kecil, anggota JPAM membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong.

Ipoh: Seramai 242 mangsa banjir daripada 58 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan di empat daerah iaitu Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung dan Kerian selepas kediaman mereka dinaiki air sejak kelmarin dan pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madis berkata, setakat jam 6 petang semalam, empat pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong di Hilir Perak, Surau Nurul Jannah Kampung Parit 6, Parit, Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, Manjung dan SK Changkat Lobak di Kerian.

Menurutnya, dua pusat pemindahan di Daerah Hilir Perak (Teluk Intan) dan Perak Tengah (Parit) dibuka pagi semalam manakala dua lagi di Kerian dan Manjung, dibuka sejak kelmarin dan Isnin lalu.

“Banjir berlaku di beberapa kawasan di Changkat Jong, Teluk Intan iaitu Kampung Mesra, Kampung Baru Batu 8 dan Lorong Kedah Batu 9, hingga menyebabkan 106 orang daripada 25 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di SK Changkat Jong.

“Pusat pemindahan di Parit pula menempatkan 55 penduduk daripada 11 keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, dua pusat pemindahan lain iaitu Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, Manjung menempatkan 37 mangsa daripada 11 keluarga manakala di SK Changkat Lobak, Kerian, 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Yahya berkata, pihaknya menempatkan pegawai dan anggota di semua kawasan yang terjejas bagi memantau keadaan dan jika perlu menyelamat serta memindahkan penduduk ke kawasan selamat, selain membantu membersihkan kesan banjir.

“Keadaan banjir di Kerian setakat ini juga terkawal dan anggota bomba membuat pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa di kawasan yang mengalami banjir.

“Gotong-royong membersihkan kawasan yang sudah surut air turut dilakukan oleh anggota bomba,” katanya.

Menurutnya, sehingga lewat petang semalam, banyak kawasan sekitar Perak tidak mengalami hujan dan tiada penambahan kawasan baru yang terbabit banjir.

myMetro 19 Nov 2015


Mangsa banjir meningkat di Perak

MOHAMMAD Fandi Abdul Rani, 12 (kanan) bersama dua abangnya, Mohammad Zaidi Abdul Rani, 16, (tengah) dan Farid Azwar Abdul Rani membersihkan rumah mereka di Kampung Tok Sirat, Sungai Siput. FOTO Mohd Nazrulaswad

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang daripada 94 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka di Sungai Siput.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif, berkata mangsa banjir terbaru di Sungai Siput membabitkan 18 orang daripada empat keluarga dari Kampung Lasah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah manakala 50 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Tok Sirat, ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat.

“Semua kampung tersebut dilanda banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat dan menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Bagan Serai pula membabitkan Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah dan Air Hitam masih kekal dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

Kesemua mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, katanya.

Beliau berkata, 51 orang daripada 16 keluarga dari Bukit Merah Batu 38 dan Batu 40 di daerah Bagan Serai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Di daerah Hilir Perak, Yahya berkata seramai 73 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8 masih berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

“Sementara itu, 27 orang daripada enam keluarga membabitkan penduduk di Parit 7, Teluk Intan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara,” katanya.

Mangsa tanah runtuh dari Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu di Pantai Remis pula masih kekal 83 orang daripada 22 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Katanya, agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Bernama

myMetro 23 November 2015



0 comments:

Post a Comment