November 24, 2015

Pencipta lagu Warisan meninggal dunia

Shah Alam: Pencipta lagu Warisan nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Syed Haron Syed Ahmad, 65, meninggal dunia di rumahnya di Desa Subang Permai, di sini, 1.45 pagi tadi akibat serangan jantung.

Menurut seorang daripada saudara terdekatnya, Allahyarham sempat makan malam bersama keluarganya malam tadi sebelum tiba-tiba diserang sakit jantung tengah malam tadi.

Jenazah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Desa Subang Permai, di sini, dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam USJ22 untuk dikebumikan pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, dua anak dan tiga cucu.

Semasa hayatnya, Syed Haron bertugas sebagai Pendaftar di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Kuala Lumpur.

Lagu Warisan turut dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 tahun lalu.

Allahyarham mencipta dan menulis lirik lagu berkenaan pada 1980 dan dimuatkan dalam album Sudirman berjudul Abadi pada 1982.

Selain aktif mencipta lagu dan lirik untuk penyanyi tanah air pada era 1970-an dan 1980-an, Syed Haron pernah menganggotai kumpulan Wheels sebagai pemain dram dan popular dengan lagu Dalam Kenangan.

myMetro 23 November 2015

0 comments:

Post a Comment