November 22, 2015

Pemuda dihukum mati bunuh rakan serumah

TEMERLOH - Nasi sudah menjadi bubur. Sama ada reda atau terpaksa, seorang pemuda perlu menerima hakikat bahawa dirinya diperintah menjalani hukuman mati oleh hakim mahkamah tinggi di sini, semalam setelah disabit bersalah membunuh rakan serumah akibat perselisihan faham dua tahun lalu.

Muhammad Faizal Dzulkifli, 25, yang dilihat sugul ketika mendengar perintah Hakim Datuk Abd Karim Ab Rahman, dituduh membunuh Mohamad Borhan Md Radzali, 18, di rumah disewa mereka di Taman Bahagia antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi 10 Jun 2013.

Hakim membuat keputusan itu selepas tertuduh dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan ke atas dakwaan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peguam tertuduh, Ahmad Nizam Hamid memberitahu, berdasarkan keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2014, tertuduh mengaku bersama beberapa yang lain memukul mangsa akibat perselisihan faham.

"Bagaimanapun, tiada sebarang senjata digunakan dalam perkelahian itu kecuali siku dan lutut.

"Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh tertuduh sendiri tetapi koma beberapa hari akibat kecederaan parah pada otak dan meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya.

Ahmad Nizam berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap anak guamnya dalam masa terdekat.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan 13 saksi manakala hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan di mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustafa.

Sinar Harian 19 Nov 2015


Polis buru suspek kes bunuh

TEMERLOH 25 Jun - Polis memburu seorang suspek yang terlibat dalam kes bunuh berpunca daripada perselisihan faham antara dua rakan yang berlaku di sebuah rumah dekat Taman Bahagia di sini pada 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, lelaki tersebut dikenali sebagai Muhammad Faizal Dzulkifli (gambar), 23, beralamat di Taman Temerloh Jaya juga merupakan rakan kepada mangsa.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun berasal dari Jerantut dipukul bertubi-tubi disyaki dengan objek keras oleh suspek.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dihantar rakannya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas kecederaannya dilaporkan serius," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Abdul Aziz berkata, polis yang menjalankan siasatan itu turut menahan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 14 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tambahnya, tiga daripada lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat lagi termasuk seorang wanita masih ditahan reman hingga esok.

Menurutnya, siasatan lanjut polis mendapati suspek bertindak memukul mangsa disebabkan berlaku pertelingkahan faham sesama mereka.

"Polis mengenal pasti suspek utama kejadian dan masih memburu lelaki ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Kita memberi amaran kepada sesiapa yang melindungi suspek kes ini boleh dituduh di bawah Seksyen 216 kanun yang sama dan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki ini supaya melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Utusan 26 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment