November 8, 2015

Pemandu pelancong maut, suami isteri cedera


Proton Wira dipandu mangsa yang maut terbakar dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Pekan-Rompin, semalam.

KUANTAN - Seorang pemandu pelancong maut selepas kereta dipandunya bertembung kereta dinaiki sepasang suami isteri dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Pekan–Rompin dekat Nenasi, Pekan, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira, Sapiee Muda, 49, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Puteri, Rompin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Zulkarnain Jusoh, 33, yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Kluang Johor dan isterinya, Nur Amira  Mohd Agus, 24, dari Kota Bharu Kelantan dilaporkan cedera ringan.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Deputi Superintendan Ahmad Nadzri Zainal berkata, pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Myvi itu difahamkan dalam perjalanan dari Kluang, Johor  ke kampung halaman mereka di Kelantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Sapiee dari arah bertentangan terbabas lalu bertembung kereta dinaiki Zulkarnain dan isterinya.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua kenderaan terlibat rosak teruk manakala bahagian depan kereta Myvi turut terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Nazri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, manakala pasangan suami isteri yang cedera itu  dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di laluan satu lorong dua hala yang agak berselekoh bagaimanapun permukaan jalannya rata.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 5 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment