November 25, 2015

Pelajar tingkatan tiga maut kemalangan di Baling

BALING - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta di Kampung Dalam Wang, Jalan Sungai Limau-Bongor di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Nur Atirah Mat Isa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, dekat sini sedang dalam perjalanan dari Jalan Sungai Limau ke rumahnya di Kampung Padang Che Mas.

"Semasa kejadian mangsa menunggang di sebelah kiri jalan dan membelok ke kanan secara mengejut di hadapan kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 72 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemandu berkenaan, katanya cuba mengelak motosikal itu namun gagal lalu melanggar mangsa, menyebabkan mangsa terjatuh dan maut di tempat kejadian.

Pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. – Bernama

22 NOVEMBER 2015

0 comments:

Post a Comment