November 25, 2015

Pelajar sempat ambil periksa sebelum maut

Kenangan Mohammad Alif Haikal (kanan) bersama keluarganya pada Aidilfitri lalu.

KOTA TINGGI - Seorang pelajar Sekolah Agama Taman Anggerik Bandar Tenggara, di sini, sempat menduduki peperiksaan darjah enam hari pertama, sebelum menemui ajal selepas terlibat kemalangan di jalan utama taman tersebut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Mohammad Alif Haikal Yusrizam, 13, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang, maut apabila motosikal jenis Honda Wave yang diboncengnya terbabas sendiri.

Manakala, penunggang motosikal, Muhammad Zulhilmi Faizal, 14, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian, parah.

Difahamkan, peperiksaan tersebut berlangsung selama empat hari sehingga Khamis ini dan Mohammad Alif Haikal dikatakan sempat menjawab kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Ibadat dan Akhlak yang dijalankan pada waktu pagi, hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dari arah jalan besar menghala Taman Anggerik, Bandar Tenggara, terbabas ke kanan menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan.

“Pembonceng meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara, manakala penunggang motosikal yang cedera parah dihantar ke Hospital Kulai.

“Hasil siasatan mendapati, insiden berlaku di jalan lurus dua hala dan ketika kejadian cuaca hujan. Kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan menyebabkan mereka terbabas,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan, pagi semalam.

Sinar Harian 25 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment