November 21, 2015

Pelajar maut semasa lawatan terima Ijazah Anumerta

GEORGETOWN - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, yang meninggal dunia akibat kemalangan bas di Guempang, Acheh Indonesia pada Mac lepas menerima Ijazah Anumerta pada Upacara Konvokesyen ke-52 universiti itu hari ini.

Ijazah berkenaan diterima oleh bapanya Abdul Majid Abdul Ghafar, 55, pada sidang kelapan upacara konvokesyen, yang disampaikan oleh Pro-Canselor USM Tan Sri Mustafa Mansur.

Anumerta bermaksud gelaran yang diberikan kepada penerima yang telah meninggal dunia.

Abdul Majid ketika ditemui selepas upacara konvokesyen itu berkata beliau sebak ketika menerima ijazah berkenaan, bagaimanapun gembira kerana hajat arwah anaknya untuk memiliki ijazah telah tercapai.

"Sejak kecil arwah memang bercita-cita hendak belajar di USM dan setiap kali kami balik ke kampung di Gelugor dia mesti akan cakap macam mana sekali pun arwah akan dapatkan ijazah dari USM.

"Sebaik menerima surat yang memaklumkan Izzamir akan menerima Ijazah Anumerta, saya dan isteri sangat teruja dan gembira walaupun sedih kerana arwah telah tiada. Tapi Alhamdulilah walaupun bukan arwah yang naik ke pentas untuk mengambil ijazahnya, kami sekeluarga gembira kerana hajatnya tercapai," kata Abdul Majid yang bekerja sebagai pengawal peribadi.

Muhammad Izzamir Nabihan merupakan penuntut tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral yang sedang mengikuti program lawatan dan kajian di lombong arang batu di Acheh, telah maut apabila bas yang dinaikinya bersama-sama 24 yang lain terbabas ketika menuruni bukit.

Kemalangan yang berlaku pada malam 11 Mac lepas itu turut menyebabkan dua pelajar yang mengikuti program lawatan dan kajian berkenaan telah mengalami kecederaan.

Ibu arwah, Suriati Omar, 45, berkata sehingga hari ini beliau masih mengingati perbualan terakhir anak kedua dari lima beradik itu yang pada mulanya enggan mengikuti lawatan ke Acheh berkenaan.

"Semasa arwah hendak mengikuti lawatan itu, ayahnya sedang sakit dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Dia ada nyatakan tidak mahu mengikuti lawatan kerana bimbang sesuatu terjadi kepada ayahnya.

"Arwah beberapa kali menghubungi saya dan memberitahu tidak mahu ke sana tetapi saya dan suami menasihatkannya turut serta kerana ia adalah peluang untuk dia belajar," katanya sebak.

Suriati yang merupakan suri rumah berkata Muhammad Izzamir Nabihan seorang anak yang baik dan mendengar kata serta selalu menjadi contoh kepada adik beradik yang lain.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Kejuteraan Mekanik Yiauw Diing Shenq dipilih menerima hadiah Pingat Emas Canselor berikutan kejayaannya dalam akademik dan kokurikulum sepanjang menuntut di USM.

Yiauw, 23, berkata kejayaannya menerima hadiah itu adalah berkat hasil kerja keras sepanjang belajar di USM dan ia akan dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya yang juga alumni universiti berkenaan.

"Selain ibu dan ayah yang merupakan bekas pelajar USM, adik lelaki saya juga sedang menuntut di sini dan saya berharap beliau dapat melakar kejayaan yang sama seperti saya," katanya yang bercita-cita menjadi jurutera itu.  - Bernama

Sinar Harian 21 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment