November 8, 2015

Pekerja kilang maut dalam kemalangan


Motosikal mangsa terbabit kemalangan malam kelmarin.

SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal maut, manakala dua lagi cedera parah apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 3, berhampiran selekoh ke Kilang On, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa, Muhammad Saifuddin Mohd Rostam, 22,  merupakan pekerja sebuah bengkel meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Senawang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tuanku Ja'afar.

"Siasatan awal mendapati, sejurus sampai di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya, tapi tidak berjaya.

“Kejadian itu mengakibatkan motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta dari laluan bertentangan,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua buah motosikal jenis Yamaha LC yang dipercayai berada di belakang kereta terbabit tidak sempat mengelak lalu turut sama melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.

Menurut jurucakap terbabit, kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua penunggang Yamaha LC mengalami cedera parah dan seorang daripadanya berusia 18 tahun mengalami patah kaki kanan.

“Semua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini  untuk tindakan lanjut.

 “Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kejadian itu kerana tiada saksi nampak bagaimana kejadian sebenar,” katanya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan mengenai kejadian.

Beliau berkata,  kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 5 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment