November 24, 2015

Panggilan terakhir...


Bandar Baharu: “Saya sempat berbual dengan emak melalui telefon bimbit beberapa minit sebelum kejadian untuk bertanya sama ada dia boleh pergi sendiri ke bank atau sebaliknya. Emak memaklumkan dia boleh ke sana sendirian,”

Itu kata Khairul Azlin Redzuan, 42, anak perempuan kepada Meriam Ariffin, 63, yang meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya melanggar pacuan empat roda di Jalan Parit Nibong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, Meriam meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Khairul Azlin berkata, kebiasaannya, dia akan menemani ibunya untuk ke bank di Parit Buntar namun semalam, mangsa pergi bersendirian.

“Saya hanya mengetahui kejadian apabila dihubungi anak saudara yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah rendah berhampiran lokasi kemalangan.

“Anak saudara kebetulan melalui kawasan itu. Saya bergegas ke situ dan sedih apabila melihat tubuh emak ditutup dengan kain sebaik tiba,” katanya ketika di temui di bilik forensik Hospital Kulim.

myMetro 24 November 2015

0 comments:

Post a Comment