November 30, 2015

Pak Kasim 'pergi' tinggal kenangan

Jenazah Kasim terbujur kaku selepas dirempuh kereta petang semalam.

Dungun: Seorang lelaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Kilometer 97, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Jambatan Paka, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Kasim Ali, 63, atau dikenali sebagai Pak Kasim meninggal dunia akibat parah di kepala.

Penduduk, Ezzuan Ahmad, 35, berkata, walaupun Pak Kasim mengalami masalah mental, arwah amat disenangi penduduk di kawasan berkenaan kerana telatahnya menghiburkan.

“Jika disuruh menyanyi lagu irama 60-an, dia terus menghiburkan kami dan kerana itu ramai tidak kisah belanja arwah makan dan minum.

“Hampir seluruh masyarakat di Paka mengenali Pak Kasim dan pemergiannya amat dirasai. Kini semuanya tinggal kenangan yang sukar kami lupakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaakub berkata, mangsa dipercayai berpatah balik ketika melintas jalan menyebabkan pemandu Proton Satria, Irwandi M Mubarak dari arah Dungun gagal mengelak dan merempuhnya.

Menurutnya, mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan polis terpaksa meminta bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Dungun untuk pengesahan identiti.

Ahmad Zailani berkata, kejadian itu bukan kes langgar lari seperti tersebar di laman sosial.

myMetro 30 Nov 2015



0 comments:

Post a Comment