November 9, 2015

Padah percaya rakan Facebook


JOHOR BAHRU – Gara-gara terlalu mempercayai kenalan yang baru dikenali melalui Facebook, dua wanita terpaksa berputih mata kerugian RM19,300 selepas ditipu baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, kedua-dua wanita terbabit telah diperdaya dua pemilik akaun Facebook yang kononnya mahu menyerahkan sejumlah barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

Katanya, mangsa terlibat ialah seorang pembantu tadbir di sebuah universiti awam berusia 40 tahun dan seorang penyelia kedai kasut di sebuah kompleks beli-belah di sini yang berumur 25 tahun.

“Kedua-dua wanita berkenaan telah diperdaya kononnya mereka perlu membantu suspek melunaskan bayaran cukai beberapa jenis barangan seperti komputer riba, telefon bimbit dan beg tangan yang didakwa telah ditahan oleh pihak berkuasa.

“Apabila barangan tersebut berjaya dikeluarkan, suspek mendakwa akan menyerahkannya kepada mangsa sebagai hadiah,” katanya di sini semalam.

Kosmo 9 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment