November 15, 2015

Orang tidur disangka mayat


Bintulu: Seorang lelaki kurang siuman berbalut kain putih di Taman Tubina, Bintulu, di sini, yang disangka mati, rupanya sedang tidur, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, lelaki berusia 30-an berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan berbalut kain putih dan menghubungi polis kerana menyangka ia adalah mayat ditinggalkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 7.17 pagi berhubung kejadian itu bagi menurunkan mangsa dari pusat rekreasi berkenaan.

"Bagaimanapun, ketika polis dan bomba mahu melakukan pemeriksaan, lelaki berkenaan tiba-tiba bangun dan beredar," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai kurang siuman dan sering tidur di beberapa kawasan di Bintulu dengan berbalut kain putih sebelum ini.

myMetro 15 November 2015


Wanita berjoging terkejut jumpa 'mayat' berkapan

BINTULU - Seorang wanita yang sedang berjoging terkejut dan pucat lesi apabila terserempak dengan seolah-olah 'mayat' seorang lelaki lengkap berkapan dan terbaring di laluan hutan di Tanjung Batu di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, wanita berusia awal 30-an yang ketakutan bergegas melaporkan perkara itu kepada polis yang kemudian menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi menjalankan pemeriksaan.

Penguasa Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyalamat Bintulu, Hashim Norshidi berkata, sejurus menerima panggilan daripada polis mengenai kes tersebut pada pukul 7.17 pagi, sembilan anggota bersama sebuah jentera segera dihantar ke kawasan hutan berkenaan.

"Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 7.22 pagi menemui seorang lelaki hanya dibaluti kain putih terbaring di tengah laluan jalan yang menjadi tempat orang awam selalu berjoging.

"Apabila diperiksa, lelaki berusia lingkungan 30-an itu didapati masih bernyawa dan rupa-rupanya sedang nyenyak tidur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan sebenarnya tidak siuman dan kerap dilihat merayau-rayau di kawasan Kidurong di sini.

Katanya, lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE

15 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment