November 22, 2015

Orang ramai gempar ular sawa masuk bonet kereta

TEWAS AKHIRNYA: Ular sawa sepanjang lebih kurang satu depa berjaya dikeluarkan.

SIBU: Orang ramai berada di Jalan Tuanku Osman di sini gempar selepas melihat kelibat ular sawa masuk ke dalam bonet enjin sebuah kereta yang diparkirkan di situ semalam.

Menurut seorang tukang sapu wanita lingkungan 40-an, semasa kejadian beliau sedang menyapu sampah sarap di jalan tersebut sekitar jam 9 pagi.

“Ketika sedang menyapu sampah, saya tiba-tiba terlihat ular datang dari arah bertentangan dan kelihatan mahu menyeberangi jalan. Dua buah kereta hampir melanggar namun ular itu sempat mengelak.

“Mungkin disebabkan takut dengan enjin kereta, ia terus menyeberangi jalan dan masuk ke dalam sebuah kereta Myvi yang diparkirkan di situ,” katanya di sini semalam.

Wanita itu berkata, beliau tidak pasti dari mana datangnya ular tersebut namun dipercayai mungkin datang dari longkang berdekatan.

Beliau kemudian memaklumkan kepada orang ramai lalu-lalang untuk mencari pemilik kereta terbabit.

Akhirnya mereka berjaya menemui pemiliknya yang bekerja di sebuah farmasi kecantikan berdekatan.

“Kemudian beberapa orang tiba dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mengeluarkan ular terbabit dari bonet enjin kereta itu,” katanya.

Kejadian ini menarik perhatian orang ramai  untuk melihat dengan lebih dekat mengetahui apa yang terjadi.

Tempat kejadian dikerumuni orang ramai sehingga berlakunya sedikit kesesakan.

Kira-kira 15 minit kemudian, anggota Bomba tiba di tempat kejadian dengan seramai empat orang mengambil masa kira-kira 15 minit mengeluarkan ular terbabit.

Mereka kelihatan agak sukar mengeluarkannya kerana ia membelitkan badannya pada enjin kereta tersebut.

Selepas bertungkus-lumus dengan kecekapan serta ketangkasan anggota bomba, akhirnya ular itu berjaya dikeluarkan sehingga mendapat tepukan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Ular sawa sepanjang lebih kurang satu depa itu bersaiz kecil dan dipercayai masih dikategorikan anak sawa.

Anggota bomba terlibat kemudian membawa ular itu untuk tindakan lanjut.

Orang ramai melihat insiden itu masing-masing kehairanan dan tertanya-tanya kerana masih ada binatang seumpama itu dapat hidup di pusat bandar.

Utusan Borneo 21 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment