November 8, 2015

Orang Asli hilang ketika keluar cari akar kayu

GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli warga emas dilaporkan hilang lebih seminggu ketika keluar mencari akar kayu di kawasan hutan Aring Lima di sini ­semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa, Abdul Hakim Salok, 60, merupakan seorang pesara pembantu perubatan dipercayai meninggalkan rumahnya di Pos Lebir sejak 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, anak sulung mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan ba­panya sejak kelmarin.

Katanya, anak mangsa mengetahui bahawa bapanya masuk ke hutan melalui adik lelakinya pada 30 Oktober namun, tidak menyangka ­sehingga kini bapanya masih tidak pulang ke rumah.

“Biasanya lelaki itu akan masuk ke dalam hutan sehingga empat hari ke­rana mengusahakan kebun dan akan pulang semula ke rumah selepas itu.

“Lelaki Orang Asli kaum Batik itu masuk ke hutan ­dengan membawa sebilah parang, sekilogram tepung gandum, lampu suluh dan sehelai kanvas dipercayai untuk mencari akar kayu,” katanya di sini semalam.

Kosmo 8 Nov 2015



Hilang di hutan: Ayah ada penyakit lupa

GUA MUSANG - Seorang warga emas Orang Asli, Abd Hakim@Udang Salok, 61, yang hilang dalam hutan selepas keluar dari rumahnya di Kampung Lebir, Aring 5 di sini, sejak 30 Okt lepas mempunyai penyakit pelupa.

Menantunya, Sariah Adis, 27, berkata bapa mertuanya itu mungkin tidak menemui jalan keluar selepas masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan untuk mencari akar kayu dan ikan sungai.

"Bapa memang minat cari akar kayu dan ikan, tapi tidak mahu ditemani sesiapa pun termasuk anak sendiri kerana suka buat kerja seorang diri walaupun mempunyai sikap pelupa.

Sejak isterinya meninggal lebih lima tahun lalu bapa amat kesunyian tinggal di rumah walaupun masih mempunyai seorang lagi anak bongsu menemaninya di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lebir, Aring 5 di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10 Oktober lepas, Abdul Hakim@Udang keluar dari rumah dengan membawa sekilogram tepung gandum dan khemah kecil untuk mencari akar kayu dan ikan di kawasan hutan berhampiran.

Kejadian itu disedari anak bongsu mangsa, Mat Shariff, 18, sebelum memberitahu kepada abangnya, Jally, 28, mengenai bapa mereka yang tidak pulang ke rumah setelah tiga hari berada di hutan sebelum membuat laporan di Balai Polis Paloh dua hari lepas.

Sariah berkata ketika Abd Hakim@Udang hendak keluar ke hutan pada 31 Oktober itu, mangsa sempat berkata kepada Mat Shariff untuk berada hanya semalaman di hutan.

"Kebiasaan pun, paling lama dia masuk hutan dua hingga tiga malam dengan membawa bersama beras, periuk dan beberapa perkakas lain, tapi kali ini hanya membawa sekilo(gram) tepung gandum sahaja.

"Saya juga kerap menegurnya supaya berhentilah kerja mencari akar kayu dan ikan kerana tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku terhadapnya kerana telah berusia, namun tidak dihiraukannya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Zawawi Yusoff berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan warga emas itu jam 6.30 petang kelmarin.

"Saya dan empat enggota kemudiannya bergegas ke tempat kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa agensi yang lain.

"Kita melancar gerakan mencari mangsa bermula dari kawasan ladang sawit berhampiran, namun sehingga petang ini mangsa masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi. - Bernama

Sinar Harian 8 Nov 2015


Mayat ayah ditemui 2.5 km dari rumah

GUA MUSANG - Seorang warga emas Orang Asli yang hilang dari rumahnya di Kampung Lebir, Aring 5, dua minggu lepas, hari ini dijumpai mati dalam ladang sawit kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya.

Mayat Abdul Hakim @ Udang Salok, 63, dijumpai terbaring dan mereput di bawah pohon kelapa sawit oleh dua pekerja ladang warga Indonesia yang sedang menjalankan kerja memotong buah sawit pada 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata sebaik penemuan itu, pekerja berkenaan segera memaklumkam kepada anggota polis yang bertugas di Bilik Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Aring 5.

Beliau berkata pasukan mencari segera ke lokasi mayat lelaki itu ditemui itu untuk membawa jasad berkenaan ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

"Anak arwah mengecam mayat bapa mereka menerusi pakaian dan peralatan yang dibawa ketika keluar rumah untuk ke kebunnya yang terletak tidak jauh dari lokasi mayat ditemui," katanya kepada pemberita di lokasi mayat itu ditemui di sini.

Pada 30 Oktober lepas, Abdul Hakim dilaporkan keluar dari rumah seorang diri dengan membawa sekilogram tepung gandum, parang dan khemah kecil untuk ke kebun.

Mangsa hanya memberitahu kepada anak lelaki bongsunya, Mat Shariff Hakim, 18, yang tinggal bersamanya, dia akan pergi ke kawasan kebun hanya semalaman tetapi tidak pulang sehingga petang keesokan hari.

Anaknya itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Paloh di sini dan pasukan SAR digerakkan untuk mencari warga emas itu.

Saiful Bahri berkata pihaknya percaya mangsa meninggal dunia lebih seminggu lalu berdasarkan keadaan mayat yang sebahagian dagingnya dipercayai dimakan binatang buas.

Katanya, ujian DNA dibuat bagi mengesahkan identiti mayat itu. - Bernama

Sinar Harian 12 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment