November 3, 2015

Operasi mencari guru hilang diteruskan

BINCANG: Azamshah berbincang bersama pihak yang terlibat dengan usaha pencarian Abang Suhaili.

BELADIN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang guru, Abang Suhaili Abang Yakup, 51, yang dikhuatiri lemas setelah dihanyutkan arus ketika menjala di kawasan Sungai Bulin di sini Ahad lalu masih menemui jalan buntu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Azamsah Apearal berkata, tiada sebarang tanda menemui mangsa setelah pencarian sepanjang hari sehingga jam 6 petang.

“Operasi dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPB) Betong, polis, RELA serta orang kampung kawasan sekitar berjalan lancar namun tiada sebarang petanda ditemui.

“Kami berusaha dengan pelbagai cara dan dengan kerjasama masyarakat kampung namun belum menemui penyelesaian sehingga jam 6 petang,” katanya ketika dihubungi berhubung perkembangan operasi pencarian mangsa lemas di Sungai Saribas semalam.

Tambahnya, fokus operasi pencarian ditumpukan di lokasi kejadian sekitar dua kilometer ke hulu dan ke hilir sungai tempat mangsa dipercayai tenggelam dan dihanyutkan arus.

“Operasi pencarian juga terpaksa dihentikan berikutan keadaan keselamatan pasukan SAR dan operasi disambung semula keesokannya atas persetujuan semua pihak terlibat,” ujarnya.

Operasi pencarian melibatkan lima anggota polis, lima anggota JBP, 10 anggota JPAM, 10 petugas RELA serta masyarakat kampung dengan menggunakan empat bot.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong James Whelan.

Utusan Borneo 3 Nov 2015



Guru dikhuatiri lemas dihanyut arus deras

BELADIN: Seorang guru dikhuatiri lemas setelah dihanyutkan arus deras dan tenggelam ketika menjala di Sungai Bulin berhampiran Kampung Beladin di sini sekitar jam 2 petang semalam.

Mangsa dikenali Abang Suhaili Abang Yakup, 47, berasal dari Betong dan menetap di Beladin berikutan berkahwin dengan penduduk di sini, merupakan guru salah sebuah sekolah rendah di sini.

Menurut saksi, mangsa dikatakan pergi menjala bersama seorang lagi rakannnya namun ketika kejadian mangsa cuba menyeberangi sungai yang arusnya deras selepas hujan pada malam sebelumnya.

Rakannya cuba melarang mangsa menyeberangi sungai tersebut tetapi tidak diendahkan.

Namun ketika menghampiri pertengahan sungai, mangsa tenggelam dan rakannya hanya sempat melihatnya terkapai-kapai meminta pertolongan dan akhirnya tenggelam dihanyutkan air deras.

Sejurus selepas itu, rakan manga yang tidak berupaya melakukan apa-apa terus bergegas meminta pertolongan dan memaklumkan perkara itu kepada orang kampung.

Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dimaklumkan dan operasi mencari masih diteruskan.

Utusan Borneo 2 Nov 2015


Mayat guru ditemui, selamat dikebumi

BELADIN: Mangsa lemas Abang Suhaili Abang Yakup, 51, selamat dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Masyarakat Islam Kampung Beladin, semalam.

Penemuan mayat mangsa lemas ketika menjala pada Ahad lalu mengakhiri pencarian pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mayat guru tersebut ditemui seorang penduduk kampung sekitar jam 7 malam kelmarin yang secara kebetulan pergi tebing sungai untuk memeriksa perahunya.

Jaafar Dillah, 49, berkata beliau hendak melihat kedudukan perahunya di pangkalan Kampung Tengah dan terlihat objek terapung berdekatan perahunya.

Pada mulanya, katanya, beliau tidak menyangka objek itu adalah mayat mangsa, justeru bertekad untuk memeriksa lebih dekat.

“Setelah sah ia adalah mayat mangsa yang dicari, saya terus mengikat mayat tersebut sebelum memaklumkan kepada orang kampung dan meminta bantuan polis,” katanya.

Polis dan pasukan SAR yang bergegas ke lokasi penemuan mendapati mayat dijumpai lebih kurang satu kilometer dari lokasi kejadian dalam keadaan sempurna dan cukup sifat.

Sejurus kemudian polis turut melakukan pengecaman menerusi isteri mangsa dan mengesahkan penemuan tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Sementara itu, mayat dituntut oleh ahli keluarga dan dibawa balik ke kediamannya di Kampung Beladin sekitar jam 3 pagi semalam sejurus selepas ditemui.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Utusan Borneo 4 Nov 2015


0 comments:

Post a Comment