November 3, 2015

Nenek rentung

TINGGAL RANGKA: Kediaman Tiamah yang ranap dijilat api.

MENYAYAT HATI: Mayat Tiamah dibawa ke Hospital Lawas.

Mayat Tiamah ditemui dalam operasi memadam kebakaran dua rumah kayu di Kampung Gelpasa Trusan, semalam.

LAWAS: Seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan rentung oleh anggota bomba dalam operasi memadam kebakaran dua buah rumah kayu di Kampung Gelapas Trusan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu mangsa, Tiamah Montol, 90, ditemui rentung keseluruhan badan di dalam biliknya 10 minit sebelum operasi memadam ditamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Mohd Shamlie Radae berkata Tiamah dijumpai jam 5.40 pagi sebelum operasi memadam ditamatkan.

Manakala dua ahli keluarga lain dan anak mangsa Sulaiman@Alias Murah  berjaya menyelamatkan diri namun melecur di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Lawas.

Beliau berkata lagi seramai tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Masli Dollah bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya kira-kira 23 kilometer dari balai.

“Seramai tujuh anggota membabitkan dua kenderaan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.25 pagi,” ujarnya di sini, semalam.

Jelasnya lagi, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 5.02 pagi dan operasi tamat pada jam 6.50 pagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa kebakaran membabitkan rumah kayu setingkat yang merebak ke rumah berhampiran.

Ujarnya hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua rumah telah terbakar.

“Rumah berkenaan didiami empat penghuni, terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan,” katanya.

Mereka ialah Sulaiman@Alias Murah yang  melecur di dahi dan belakang badan dan telah dihantar ke Hospital Lawas, Halimah  Mansur, Asmali Alias dan Tiamah  Montol yang rentung dalam kejadian itu.

Hasil siasatan awal katanya kebakaran bermula dari bilik yang didiami mangsa dan dipercayai berpunca daripada api lilin.

Utusan Borneo 2 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment